Lin Dan tewaskan Chen Long dalam saingan tiga set. FOTO EPA
Lin Dan tewaskan Chen Long dalam saingan tiga set. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


LEGENDA perseorangan lelaki China, Lin Dan merangkul gelaran Terbuka Malaysia kali kedua selepas menewaskan rakan senegara, Chen Long pada final perseorangan lelaki di Arena Axiata, Kuala Lumpur, hari ini.

Juara 2017 itu kalah pada set pertama sebelum bangkit semula untuk menundukkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 itu dengan 9-21, 21-17, 21-11.

Kedua-dua pemain itu pernah beraksi di final Terbuka Malaysia 2015 yang menyaksikan Chen Long berjaya muncul juara selepas mencatat kemenangan 20-22, 21-13, 21-11.

Kali pertama Lin Dan muncul juara Terbuka Malaysia adalah pada 2017 ketika mengatasi jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei 21-19, 21-14.

Sementara itu, bagi beregu campuran, pilihan utama juga dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong berjaya muncul juara selepas menumpaskan rakan senegara, Wang Yilyu-Huang Dongping 21-17, 21-13.

Satu lagi aksi China menentang China ialah dalam perlawanan akhir beregu wanita, apabila Chen Qingchen-Jia Yifan berjaya mengalahkan Du Yue-Li Yinhui 21-14, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 4:15 PM