KETUA Jurulatih Pahang FA, Dollah Salleh. FOTO MohdSyafiq Ridzuan Ambak
KETUA Jurulatih Pahang FA, Dollah Salleh. FOTO MohdSyafiq Ridzuan Ambak
Asrol Awang

BIARPUN merekodkan kemenangan 4-0 ke atas PIB FC malam tadi, sekali gus layak ke pusingan ketiga Piala FA, Dollah Salleh tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipersembahkan pemain Pahang. 

Pengendali Tok Gajah itu berkata, anak buahnya tidak mempamerkan corak permainan yang diinginkan terutama pada babak kedua perlawanan. 

"Pemain jelas tidak agresif untuk bermain dengan lebih baik iaitu tidak seperti separuh masa pertama apabila berjaya menjaringkan tiga gol. 

"Namun, sebaik perlawanan bersambung, pemain bermain sambil lewa walaupun pasukan mampu menambah jaringan. 

"Bagi saya jika mereka mengekalkan sikap seperti ini pada perlawanan akan datang saya bimbang mereka akan terbawa-bawa aksi sama yang boleh memberi kesan kepada keputusan. 

"Oleh itu, saya harap sikap sambil lewa ini tidak berterusan dan mahu pemain mengekalkan permainan konsisten," katanya. 

Sementara itu, jurulatih PIB, Haswanis Che Hassan tetap berbangga dengan komitmen yang dipersembahkan anak buahnya. 

Katanya, komitmen tinggi terutama memperkemaskan jentera pertahanan pada babak kedua berjaya menyekat tuan rumah daripada menambah jaringan. 

"Saya puji kerana mereka sudah melakukan segalanya kerana kami bukannya bermain secara sepenuh masa jika dibandingkan dengan Pahang. 

"Oleh itu, perlawanan ini diharap menambah pengalaman buat semua pemain apabila beraksi dalam saingan Liga M4 pada Jun depan," katanya. 

Pada perlawanan itu, empat gol Pahang, masing-masing dijaringkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit kelapan, diikuti Jose Eduardo (m-15), Safuwan Baharudin (m-28) dan Faisal Halim (m-60).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 12:20 PM