GOH Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani
GOH Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Sesudah melepasi tugas mudah pada pusingan pertama kelmarin, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berdepan ujian sebenar pada pusingan kedua Terbuka India hari ini.

Menanti mereka pilihan utama dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen lawan yang mengalahkan mereka pada pusingan pertama Terbuka Bitburger 2017.

Menurut Izzuddin, jikq berhasrat untuk menebus dendam susulan pertemuan sulung sebelum ini, perkara paling penting dan harus diselesaikan dengan segera adalah menyesuaikan dengan keadaan gelanggang di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi.

“Aksi pusingan pertama tidak begitu sukar buat kami tapi pada masa sama kami masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri dengn keadaan gelanggang di sini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pada pusingan pertama, Sze Fei-Nur Izzuddin menumpaskan pasangan tuan rumah, Vikrant Chawat-Prem Singh Chouhan 21-8, 21-11.

“Bagi perlawanan pusingan kedua kami akan menentang pilihan utama, jadi apa yang harus kami lakukan adalah melakukan persiapan terbaik dari segi mental dan fizikal,” kata pemain kelahiran Johor itu.

Turut melepasi pusingan pertama dua pasangan profesional Chooi Kah Ming-Low Juan Shen dan Arif Latif-Azryin Ayub.

Bagi beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Weng dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan pilihan kedua kejohanan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal ke pusingan kedua apabila kalah 21-17, 21-23, 14-21 di tangan beregu Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 7:30 AM