GNABRY bakal pengganti Robben di bahagian sayap.
GNABRY bakal pengganti Robben di bahagian sayap.
AFP

KONTRAK pemain sayap Jerman, Serge Gnabry bersama Bayern Munich dilanjutkan sehingga 2023 dalam usaha juara bertahan Bundesliga itu memperkasakan cabaran pasukan.

Pemain berusia 23 tahun itu digilap bagi mengambil alih posisi bintang veteran Bayern, Arjen Robben dan Franck Ribery, kedua-duanya berusia 35 tahun dan tamat kontrak penghujung musim ini.

Gnabry, pemain muda Canada-Alphonso Davies, 18, dan pemain Perancis-Kingsley Coman, 22, adalah generasi pemain sayap baharu Bayern.

"Kami gembira kerana memiliki Serge untuk tempoh jangka panjang,” kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic. “Dia mengambil langkah tepat bersama kami tahun ini.”

Bayern membayar Werder Bremen lapan juta euro (RM36.94 juta) untuk mendapatkan Gnabry pada 2017 tetapi meminjamkannya ke Hoffenheim musim lepas dan tahun ini adalah yang pertamanya di Bayern.

Menjaringkan lapan gol daripada 29 perlawanan Bayern, Gnabry yang boleh beraksi di kedua-dua belah sayap menjadi watak penting yang mencantas jurang mata dengan Dortmund di puncak Bundesliga sejak beberapa minggu lalu.

Bayern menghapuskan jurang sembilan mata dimiliki Dortmund pada Disember lalu dan kini mereka menyamai 54 mata dengan hanya dibezakan jaringan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 9:46 PM