IZZUDDIN (kiri) beraksi bersama Sze Fei pada Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
IZZUDDIN (kiri) beraksi bersama Sze Fei pada Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi


HAMPIR mara ke separuh akhir dan mengejutkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik London 2012, Mathias Boe-Carsten Mogensen pada kejohanan Masters Sepanyol membuktikan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani seolah-olah baru bangkit daripada tidur.

Sze Fei-Nur Izzuddin seakan sedar mereka juga berada dalam perancangan ketua jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Izzuddin, dari segi corak permainan sepanjang kejohanan itu mereka berjaya memberikan aksi yang lebih kurang sama cuma kelemahan mereka kini adalah dari segi kekuatan mental.

“Ketika bertemu Boe-Mogensen kami akui memang kurang dari segi pengalaman terutama di hujung saingan,” katanya selepas tumpas 20-22, 21-18, 19-21 kepada pasangan veteran Denmark itu sekali gus membunuh impian mara ke separuh akhir.

Ujar Izzuddin, walaupun hanya jurulatih perseorangan lelaki, Indra Wijaya berada di belakang mereka, tanpa kehadiran pengendali beregu ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan mereka terkandas di suku akhir.

“Mungkin (ketiadaan jurulatih beregu di luar gelanggang) tapi semuanya terletak di atas kami apabila dalam permainan.

“Selepas ini pada Terbuka Jerman kami berjanji akan melakukan lebih baik berbanding di Sepanyol, kalau boleh mahu mara lebih jauh,” kata pemain dari Johor itu.

Sementara itu, Sze Fei mengakui mereka sudah memberikan yang terbaik terutama ketika berdepan Boe-Mogensen.

“Bagaimanapun, saya rasa kami masih mempunyai jurang dengan pasangan terbaik dunia. Paling penting kami harus terus bekerja keras.

“Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan prestasi di Sepanyol, namun perkara ini sudah menjadi sejarah... fokus kami kejohanan seterusnya Terbuka Jerman,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 9:18 PM