NAOMI OSAKA
NAOMI OSAKA
Reuters

DUBAI: Juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova berkata sikap pemalu Naomi Osaka mendatangkan masalah buatnya apabila dia bergelut dengan tumpuan melampau yang diberikan kepadanya selepas menjulang Grand Slam dan berada di puncak ranking dunia.

Naomi yang menangis mengakui berdepan kesukaran menangani tumpuan selepas menjadi pemain wanita di ranking teratas dunia, apabila tewas mengejut kepada pemain Perancis Kristina Mladenovic di Kejohanan Tenis Dubai Duty Free kelmarin.

Ia adalah perlawanan pertama pemain berusia 21 tahun itu sejak menjulang kejuaraan Terbuka Australia pada Januari untuk gelaran Grand Slam kedua sepanjang kariernya.

Petra berkata Naomi perlu membiasakan diri untuk menjadi sasaran lawan.

“Dia pemain nombor satu, pemenang Grand Slam, semua orang mahu menewaskannya. Itulah cara pemain berfikir,” kata Petra yang ditewaskan Naomi pada final di Melbourne.

“Saya masih ingat sewaktu masih muda, saya mempunyai pemikiran tertentu. Itulah caranya, ia mengenai pengalaman dan turun ke gelanggang, menyedari anda adalah pemain pilihan setiap perlawanan.

“Setiap pemain lawan mahu menewaskan anda.”

Petra, pemain nombor empat dunia menjulang Wimbledon pertamanya pada 2011 tetapi menyedari sukar untuk meneruskan kejayaan itu.

“Saya mengambil masa yang panjang, tiga tahun untuk menang satu lagi Grand Slam. Saya masih di tangga 10 teratas. Saya masih berjuang tetapi gagal melakukannya di pentas besar,” kata Petra yang kariernya tergendala seketetika selepas diserang dengan pisau oleh penceroboh rumahnya pada 2016.

“Dia (Naomi) seorang yang agak pemalu, mungkin seperti saya ketika itu. Memang sukar bagi saya ketika itu, sudah pasti. Saya benar-benar memahami Naomi.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 8:34 PM