BAYERN hadapi tugas getir di Anfield.
BAYERN hadapi tugas getir di Anfield.
AFP

“KAMI perlu mempamerkan aksi berbeza, tetapi ia adalah di peringkat antarabangsa dan fokusnya pasti berbeza. Saya jangka persembahan berbeza sama sekali akan kami pamerkan,” tegas pengendali Bayern Munich, Niko Kovac.

Bayern bertandang ke Liverpool untuk pertembungan Liga Juara-Juara di Anfield pada awal pagi Rabu dengan membawa harapan Jerman untuk mempunyai wakil tunggal di suku akhir kejohanan itu.

Bagaimanapun keyakinan terhadap peluang Bayern di Anfield merosot apabila dua kali mereka terpaksa bangkit untuk merakam kemenangan 3-2 ke atas pasukan bergelut Bundesliga, Augsburg.

“Semuanya perlu diperbaiki, tetapi Liverpool adalah fokus utama kami,” kata Kovac.

Sejak musim 2005-06, sekurang-kurangnya satu pasukan dari Jerman berjaya lolos ke kelompok lapan terakhir kejohanan tertinggi Eropah itu.

Namun rekod itu mungkin tercalar sekiranya Bayern kalah besar pada perlawanan pertama itu sebelum aksi timbal balik pada 13 Mac.

“Anda tidak boleh melakukan kesilapan dalam perlawanan sebegini, tetapi saya rasa kami mampu memberikan masalah buat Liverpool,” kata pemain tengah Bayern James Rodriguez.

“Kami mempunyai pasukan yang cukup bagus untuk layak, sekiranya semua berjalan lancar.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:22 PM