Sol Bamba melambai tangan kepada penyokong pada aksi menentang Southampton. FOTO Agensi
Sol Bamba melambai tangan kepada penyokong pada aksi menentang Southampton. FOTO Agensi
AFP

LONDON : Kapten Cardiff City Sol Bamba mendedikasikan jaringannya dan kemenangan 2-1 ke atas Southampton kepada Emiliano Sala selepas aksi perlawanan penuh emosi bagi kelab Welsh itu.

Perlawanan semalam adalah yang pertama selepas tragedi kematian pemain Liga Perdana Inggeris itu disahkan minggu lalu.

Mayat penyerang Argentina itu disahkan pihak berkuasa Khamis lalu, sehari selepas penemuan mayat berkenaan bersama rangka kapal terbang di dasar laut.

“Banyak perkara yang berlegar di fikiran saya. Saya mengenali Emiliano (Sala). Saya tahu dia sedang memerhati kami. Kejayaan dan jaringan ini adalah untuk dia,” kata Bamba.

Kapal terbang yang membawa Sala dari Nantes, Perancis ke kelab barunya, Cardiff hilang berhampiran Pulau Guernsey pada Januari 21. Mayat juruterbang pesawat David Ibbotson masih hilang.

Keluarga Sala melancarkan kempen derma untuk menjalankan operasi mencarinya.

Suasana hiba di kalangan penonton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan Southampton bertemu Cardiff City di Stadium St Mary semalam.
Suasana hiba di kalangan penonton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan Southampton bertemu Cardiff City di Stadium St Mary semalam.

Cardiff diberikan kebenaran oleh Liga Perdana Inggeris untuk memakai jersi dengan cetakan logo bunga daffodil berwarna kuning iaitu lambang kebangsaan Wales dan warna pasukan Nantes.

Sebelum sepak mula perlawanan di Stadium St Marry semalam, semua di dalam stadium bertafakur selama seminit.

Pertahanan dari Ivory Coast, Bamba menghasilkan gol pendahuluan Cardiff pada minit ke-69 sebelum Southampton menyamakan kedudukan pada minit akhir permainan menerusi Jack Stephens namun Kenneth Zohore memastikan kemenangan Cardiff pada minit ke-93 untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 4:15 PM