FARAH (kiri)  dan Cabal meraikan kejayaan Colombia mara ke pusingan akhir  Piala Davis di Bogota.
FARAH (kiri) dan Cabal meraikan kejayaan Colombia mara ke pusingan akhir Piala Davis di Bogota.
AFP

PARIS: Bekas juara Serbia, Jerman, Australia dan Itali mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Davis, awal pagi tadi manakala Colombia menyingkirkan juara tujuh kali, Sweden bagi mencabar trofi buat kali pertama dalam 51 percubaan.

Sejak 1959, negara dari benua Amerika Selatan itu gagal dalam percubaan mara ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, kekecewaan itu ditebus apabila gandingan Juan-Sebastian Cabal-Robert Farah melengkapkan kemenangan bagi memastikan kemenangan awal Colombia dengan selesa mendahului 3-0 di Bogota.

Alejandro Gonzalez melengkapkan kemenangan itu selepas menewaskan Elias Ymer 6-3, 6-3 untuk Colombia melakar kemenangan 4-0.

Serbia turut menyertai Colombia dalam pusingan akhir yang akan berlangsung di Madrid, November depan.

Tanpa kelibat juara Terbuka Australia Novak Djokovic, Serbia yang sudah mendahului 2-0 cemas seketika apabila Uzbekistan bangkit menyamakan kedudukan itu di Tashkent.

Denis Istomin yang bergandingan bersama Sanjar Fayziev menang 2-6, 6-1, 6-3 ke atas Nikola Milojevi-Viktor Troicki dalam acara beregu.

Istomin yang turut beraksi dalam acara perseorangan cemerlang apabila memberi mata penyamaan buat Uzbekistan apabila menewaskan Dusan Lajovic 6-3, 6-4.

Bagaimanapun, Filip Krajinovic muncul wira Serbia dengan menyumbang mata kemenangan selepas mengetepikan cabaran Sanjar Fayziev 4-6, 6-3, 6-0.

Sementara itu, Jerman yang kali terakhir merangkul gelaran juara pada 1993 melakar kemenangan ke atas Hungary 5-0 di Frankfurt.

Australia turut menempah tiket ke pusingan akhir apabila melengkapkan kemenangan ke atas Bosnia&Herzegovina 4-0 di Adelaide.

“Selepas musim panas yang panjang, ia bukan mudah untuk semua pemain tetapi mereka memberikan aksi terbaik. Mereka bekerja keras bagi menghasilkan keputusan diharapkan dan mereka berhak untuk kemenangan ini,” kata kapten Australia, Lleyton Hewitt.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 11:28 AM