AHMAD Faizal (kiri) ketika Majlis Pelancaran Kit Pasukan Liga Super Perak Musim 2019/2020 di Dataran Bandaraya Ipoh. -Foto EFFENDY RASHID
AHMAD Faizal (kiri) ketika Majlis Pelancaran Kit Pasukan Liga Super Perak Musim 2019/2020 di Dataran Bandaraya Ipoh. -Foto EFFENDY RASHID
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berhasrat menjadi produk pengeluar pemain muda berkualiti dan mereka diharap bukan saja menjadi rebutan pasukan negara ini malah kelab luar negara.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia bukan perkara main-main malah beliau mahu melihat pemain negeri itu menyarung jersi pasukan terkenal seperti Barcelona, Arsenal dan Liverpool satu hari nanti.

“Saya sekarang berhasrat untuk melatih pemain kami supaya bukan saja satu hari nanti dibeli oleh JDT (Johor Darul Ta’zim), Selangor atau Kelantan tapi saya hendak pemain kami esok lusa selepas musim ini dilamar oleh Barcelona, Liverpool, Arsenal dan lain-lain.

“Ini bukan cakap main-main, kami nak latih supaya pemain dimiliki jadi pemain global, bukan setakat jadi pemain di negara ini saja, jadi jangan fikir pemain luar itu lebih hebat berbanding pemain negara ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan PAFA berpuas hati dengan prestasi pemain muda tempatan serta empat pemain import dimiliki dan tidak berhasrat menambah seorang lagi pemain import bagi melengkapkan kuota lima pemain import.

Pengurus, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dan jurulatih, Mehmet Durakovic memaklumkan kepada Ahmad Faizal mereka berpuas hati dengan semua pemain dimiliki.

“Saya fikir ada juga kebenarannya kerana pasukan kami sebenarnya satu pasukan muda dengan kebanyakan pemain di bawah usia 25 tahun, ini satu pasukan yang boleh dibawa pergi jauh.

“Kalau bawa terlalu ramai pemain baru dalam pasukan, ia akan mengganggu keserasian antara pemain,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran jersi pasukan Liga Super musim 2019 di Dataran Bandaraya Ipoh, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 12:31 PM