ODAI masih berbaki 18 bulan bersama Chelsea. FOTO/AGENSI
ODAI masih berbaki 18 bulan bersama Chelsea. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Chelsea kini menjalankan rundingan dengan pemain sayap muda berbakat Callum Hudson-Odoi mengenai masa depannya.

Pemain berusia 18 tahun itu yang sudah membuat 13 kemunculan namun belum diturunkan dalam kesebelasan utama liga kini dikaitkan dengan perpindahan £35 juta (RM185.4 juta) ke Bayern Munich.

Bagaimanapun, kontraknya di Stamford Bridge masih berbaki 18 bulan dan Chelsea juga enggan melepaskannya.

Terdapat laporan mengatakan dia sudah menerima tawaran baharu gaji £70,000 (RM370,000) seminggu tetapi jumlah masa permainan difahamkan menjadi keutamaannya ketika ini.

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri sebelum ini tampil mengkritik Bayern selepas mereka sanggup berbelanja besar dalam usaha mendapatkan Hudson-Odoi.

Malah, pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic berkata, bahawa gergasi Jerman itu amat berminat mendapatkan permata muda Chelsea itu.

“Ia tindakan tidak profesional, kerana mereka bercakap mengenai pemain yang masih mempunyai kontrak bersama Chelsea,” kata Sarri.

“Jadi ini bermakna mereka tidak menghormati kelab ini.”

Sarri yang pada minggu lalu mengatakan ingin menandatangani dua pemain pada jendela perpindahan Januari, menegaskan beliau mahu pemain muda itu kekal di Chelsea  dan menurunkannya dalam tiga perlawanan terakhir.

Hudson-Odoi beraksi penuh 90 minit ketika membantu Chelsea mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, selain diturunkan sewaktu kecundang 1-0 di tangan Tottenham dalam pertemuan separuh akhir pertama Piala Liga.

Dia juga dibawa masuk sebagai pemain gantian ketika menang 2-1 ke atas Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris, 12 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 10:49 AM