RONALDINHO (tengah) mengabadikan tapak kakinya di Stadium Maracana. -Foto Reuters
RONALDINHO (tengah) mengabadikan tapak kakinya di Stadium Maracana. -Foto Reuters

RIO DE JANEIRO: Bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho mengabadikan tapak kakinya di Dewan Kemasyhuran legenda Rio, Stadium Maracana, setahun selepas bersara.

“Ini trofi terbesar dalam karier saya,” kata bekas pemain berusia 38 tahun itu kepada pemberita di stadium yang digunakan sebagai gelanggang perlawanan akhir Piala Dunia 1950.

Tapak kaki pemain yang nama penuhnya Ronaldinho de Assis Moreira itu akan dipamerkan di samping pemain hebat bola sepak Brazil termasuk Pele dan Zico.

Ronaldinho menerima jemputan mengabadikan tapak kakinya pada 2011 lagi tetapi terpaksa ditangguhkan kerana sibuk dengan jadualnya.

Bekas penyerang Barcelona yang memenangi Piala Dunia 2002 bersama Brazil di samping Ronaldo dan Rivaldo, menjaringkan gol dengan sepakan bebas jarak jauh yang diingati ketika menentang England.

Dia dianugerahkan pemain terbaik Eropah, Ballon d’Or pada 2005 dan akhirnya bersara pada Januari tahun lalu, tujuh tahun selepas kembali ke Brazil.

Sejak itu dia berkata “menjalani kehidupan aktif” meskipun mengakui merindui saat ketika bergelar pemain bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:22 AM