Aizat Sharif


KEJAYAAN Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Para Terbaik Asia 2018 mampu mencetus semangat kepada atlet para negara yang lain untuk terus mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Bapanya Mohamad Puzi Mat Isa, 59, turut berharap kejayaan yang dilakar oleh anaknya dapat diteruskan dengan memberikan prestasi terbaik.

“Berita kejayaan (Ridzuan) ini sudah tentu menggembirakan saya serta ahli keluarga, dan kami sangat bersyukur sekali gus tumpang bangga dengan kejayaannya.

“Namun dalam masa yang sama, walaupun usianya kini semakin meningkat, saya sangat berharap agar dia dapat mengekalkan prestasi hingga tahap terbaik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

MOHAMAD Puzi Mat Isa. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Puzi Mat Isa. FOTO Arkib NSTP

Katanya, dia sendiri terkejut selepas dimaklumkan oleh jurulatih olahraga para, R Jeganathan berhubung penganugerahan yang diberikan kepada Ridzuan atau lebih dikenali sebagai ‘Dik Wan’ itu.

“Jurulatih dia ada memberitahu saya serta menunjukkan surat pemberitahuan berkenaan anugerah yang diterima oleh Ridzuan di Doha, Qatar pada 5 Februari nanti.

“Kami sekeluarga bersyukur kepada Allah dengan kejayaan diberikan kepada Ridzuan, dan saya berharap prestasi dia tidak tenggelam selepas menerima anugerah demi anugerah,” katanya.

Katanya, Dik Wan ada pulang ke kampung halamannya di Kampung Sungai Papan, Mukim Tebengau, Kuala Kedah pada cuti umum sambutan Krismas yang lalu.

“Dik Wan memang akan balik ke sini (Kampung Sungai Papan) apabila mendapat pelepasan jurulatih atau tiada latihan olahraga dijalankan.

“Setiap kali dia pulang sentiasa tidak sabar untuk mengetahui cerita kejayaan yang dibawa olehnya... tengok sahajalah selepas kejayaan di Paralimpik dua tahun lalu, pelbagai suka duka kejayaan yang diraih oleh Dik Wan.

“Walaupun kami sekeluarga tidak dapat mengikutnya hingga ke Doha untuk menyaksikan pengiktirafan anugerah berkenaan kepada Ridzuan, namun kami tetap menyokongnya sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, bagi jurulatih olahraga yang pernah menggilap bakat dan potensi Ridzuan ketika anak didiknya itu baru berkecimpung dalam bidang olahraga di Perlis, Affizan Amdan, 48, berkata, kejayaan Dik Wan adalah sesuatu yang wajar diberikan pengiktirafan.

“Saya mendapat berita kejayaannya itu selepas diberitahu oleh bapanya (Mohamad Puzi) pada minggu lalu. Bila melihat semula pahit jerih serta komitmen terpaksa diharungi Ridzuan untuk bergelar atlet, ia adalah sesuatu yang berbaloi sebagai suatu pengiktirafan kepadanya.

“Malah, kejayaan beliau ini juga sering dijadikan rujukan atau ‘kayu pengukur’ untuk atlet para lain di Perlis ini untuk berjaya bukan sahaja di peringkat negeri dan kebangsaan, tetapi di peringkat antarabangsa.

“Ini kerana atlet lain yang selama ini melihat mereka serba kekurangan kini mampu tersenyum dan bersama-sama menanam azam serta mempunyai mentaliti juara seperti Ridzuan sendiri,” katanya.

Berita berkaitan

Ridzuan cipta sejarah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 8:36 PM