CALLUM HUDSON-ODOI
CALLUM HUDSON-ODOI
Agensi

LONDON: Chelsea berharap dapat meyakinkan Callum Hudson-Odoi untuk menandatangani kontrak baharu, walaupun menerima tawaran buat kali ketiga dari Bayern Munich pada harga juta pound (RM156 juta), tidak termasuk terma lain.

Meskipun baharu mengikat Christian Pulisic dari Borussia Dortmund, The Blues kekal dengan prinsip untuk tidak melepaskan pemain muda berbakat itu.

Hudson-Odoi yang menyertai semula latihan semalam berikutan masalah kecederaan hamstring, sudah menyuarakan keinginan untuk lebih kerap diturunkan dalam skuad utama.

Kontrak pemain sayap berusia 18 tahun itu kini hanya berbaki 18 bulan di Stamford Bridge, dan setakat ini dia menolak untuk melanjutkan kontraknya.

Bayern berminat untuk mendapatkan pemain berkenaan, yang mungkin mengikut jejak langkah Jadon Sancho dan Reiss Nelson sekiranya memilih Jerman sebagai destinasi pilihan.

Bos Chelsea, Maurizio Sarri sudah memberi peluang kepada Hudson-Odoi membuat enam kemunculan musim ini dan namanya diketepikan dalam senarai 18 pemain, ketika terikat tanpa jaringan dengan Southampton, Khamis lalu.

Penyerang yang berdepan isu penyudah berkarat, Alvaro Morata turut dikaitkan dengan perpindahan keluar, apabila Real Betis dan Sevilla berminat mendapatkannya secara pinjaman.

Chelsea juga perlu membuat keputusan mengenai pemain yang menjadi sasaran Wolves – Tammy Abraham – sebelum 14 Januari ini, apabila pilihan untuk memanggil balik pemain itu (secara pinjaman) di Aston Villa berakhir pada tarikh berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 11:39 AM