ADLY Shah (kiri) dan Durakovic (kanan) menyerahkan jersi Perak kepada Zac yang menyarung jersi pasukan Perak musim 2019. FOTO IHSAN PAFA
ADLY Shah (kiri) dan Durakovic (kanan) menyerahkan jersi Perak kepada Zac yang menyarung jersi pasukan Perak musim 2019. FOTO IHSAN PAFA
Shaarani Ismail


IPOH: Pemain kelahiran Australia, Zac Anderson sah menyarung jersi pasukan Perak selepas menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, kemasukan bekas pemain import PKNS FC itu adalah bagi menguatkan pertahanan pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Beliau turut menyifatkan kehadiran pemain berusia 27 tahun itu sebagai pilihan tepat untuk mengukuhkan benteng The Bos Gaurus.

"Pemain ini diikat mengikut keperluan pasukan bagi mengharungi musim ini. Zac memiliki pengalaman beraksi di sini dan dia turut memiliki kualiti kepimpinan di tengah padang selain kelebihan fizikal yang akan membantu pasukan.

“Saya dengan ketua jurulatih, Mehmed Durakovic sudah berbincang panjang lebar dengan Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai keperluan kita untuk kuatkan pertahanan dan beliau bersetuju untuk ambil Zac,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai kekosongan satu lagi pemain import pasukan itu, Adly Shah menjelaskan pihaknya enggan terburu-buru dan mahu mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti bagi mengisi slot import kelima.

"Kami kena tunggu dulu kerana bagi saya perkara ini kena buat dengan sebaik mungkin. Selepas itu barulah kami membuat keputusan.

“Berhubung dakwaan kata Perak nak ikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota import Asia Tenggara, ia tidak benar.

"Malah ada yang kata ramai pemain Perak akan berhijrah termasuk penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy juga tidak benar. Semua akan kekal dalam pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 4:13 PM