JENTERA baharu Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO FB Red Bull KTM Tech3
JENTERA baharu Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO FB Red Bull KTM Tech3
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Tahun 2019 dijangka menjadi lebih menarik baik daripada dua roda mahupun empat roda selepas musim ini dilihat menjadi detik bagi permulaan era baharu dalam industri sukan permotoran negara.

Tahun ini, Malaysia mempunyai wakil dalam kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia yang disertai Hafizh Syahrin Abdullah dan pada musim sulungnya bersama pasukan Monster Yamaha Tech3, dia berjaya mempamerkan aksi positif hingga mendapat perhatian peminat dunia.

Hafizh yang masih bersama Tech3 musim depan namun bertukar kepada jentera KTM daripada Yamaha, menamatkan musim di tangga ke-16 dengan 46 mata namun apa yang harus dibanggakan, pelumba berusia 24 tahun itu mampu bersaing sengit memburu gelaran muka baharu terbaik.

Pelumba Itali, Franco Morbidelli muncul selaku pelumba muka baharu terbaik dengan 50 mata dan Hafizh yang memberi saingan sejak awal musim, berada di tangga kedua terbaik.

Pencapaian Hafizh itu membuktikan betapa pelumba negara juga mampu bersaing bersama pelumba terkemuka dunia dengan penamat terbaiknya adalah tangga kesembilan pada Grand Prix Argentina, April lalu.

“Tahun yang penuh kejayaan buat sukan permotoran negara terutama sekali MotoGP,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali yang turut menjadi tonggak utama dalam merealisasikan impian untuk menyaksikan pasukan pertama Malaysia beraksi dalam kelas MotoGP musim depan.

“Pertamanya, awal tahun ini, Hafizh diumum ke saingan MotoGP dan pada bulan Ogos, kami membuat pengumuman melonjak ke kelas MotoGP dan (menubuhkan) pasukan MotoGP pertama dari Asia Tenggara.

“Bagi saya, dua faktor ini positif dan baik untuk sukan permotoran negara. Dari sudut prestasi pelumba, sudah tentu Hafizh buat yang terbaik sebagai ‘rookie’ (pelumba muka baharu). Walaupun tidak dapat gelaran ‘rookie’ terbaik, tapi nombor dua juga tetap baik.”

Daripada pengumuman pasukan pertama negara di MotoGP - PETRONAS Yamaha Sepang Racing - Malaysia turut mempunyai wakil pasukan dalam kelas Moto2 dan Moto3 yang menggunakan nama PETRONAS Sepang Racing musim depan.

Dalam kelas MotoGP, Morbidelli dan Fabio Quartararo dari Perancis akan mewakili pasukan negara pada tahun pertama saingan manakala Moto2 diwakili Khairul Idham Pawi. Untuk Moto3, pasukan negara akan diwakili pelumba Jepun, Ayumu Sasaki dan John McPhee (Scotland) menggantikan Adam Norrodin yang akan menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Mengulas mengenai prestasi empat roda, Razlan turut berpuas hati dengan pencapaian trio pemandu negara - Nabil Jeffri, Jazeman Jaafar dan Weiron Tan - pada Kejuaraan Endurance Dunia yang mencipta kejutan meraih kemenangan sulung mereka di Fuji, Jepun, Oktober lalu bersama pasukan Jackie Chan DC Racing.

“Tak boleh dilupakan juga dalam sukan empat roda yang menyaksikan trio pemandu negara yang meraih kemenangan pertama di Jepun dan kedua di Silverstone dan mereka ketika ini terikat di tangga ketiga (keseluruhan).

“Mitchell Cheah juga berjaya muncul naib juara di TCR Asia Series dalam tahun pertama penyertaannya. Jadi bagi saya, empat roda juga mencatat keputusan bagus,” kata Razlan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 7:46 PM