JURGEN KLOPP
JURGEN KLOPP
Agensi

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan beliau bukannya ‘pakar’ yang boleh meramalkan apa yang akan berlaku ketika skuad kendaliannya bersiap menerima kunjungan Manchester United, esok.

United tidak pernah tewas di Anfield dalam pertemuan liga sejak 2013 dan skuad bimbingan Jose Mourinho mungkin sekali lagi akan mengamalkan pendekatan negatif terhadap peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Namun Klopp enggan mengkritik gaya permainan Red Devil, dengan berkata semuanya terpulang kepada anak-anak buahnya untuk mencari jawapan.

“Saya tidak melihat mereka hanya mengamalkan gaya permainan seperti itu. Mereka bukan hanya mempunyai sejenis gaya saja, bermain bola lambung atau bertahan di kawasan sendiri,” katanya.

“Mungkin tahun lalu ada sedikit corak sebegitu (di Anfield), tetapi mereka tidak melakukannya di Old Trafford.

“Ia amat sukar. Taktikal bola sepak memang begitu. Saya bukan pakar dan bercakap kepada orang ramai apa yang akan mereka (United) lakukan. Ia hanya taktikal bola sepak.”

Liverpool muncul satu-satunya pasukan yang masih belum mengalami sebarang kekalahan liga, berada di persada liga dengan kelebihan satu mata di depan Manchester City.

United pula mengharungi kempen yang tidak konsisten dan kini jauh ketinggalan di kedudukan keenam carta liga, 16 mata di belakang Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 12:14 PM