PEMAIN River Plate menjulang trofi Copa Libertadores selepas membenam Boca Juniors 3-1 pada aksi final yang terpaksa dipindahkan lebih 10,000 kilometer dari Argentina. FOTO AFP
PEMAIN River Plate menjulang trofi Copa Libertadores selepas membenam Boca Juniors 3-1 pada aksi final yang terpaksa dipindahkan lebih 10,000 kilometer dari Argentina. FOTO AFP

MADRID: River Plate menjuarai Copa Libertadores selepas menewaskan seteru tradisi Boca Juniors 3-1 awal pagi tadi, sekali gus mengakhiri episod final yang dicemari keganasan hingga aksi terpaksa dipindahkan lebih 10,000 kilometer dari Argentina.

Boca mendahului menerusi Dario Benedetto tetapi Lucas Pratto menyamakan kedudukan sebelum Juan Quintero dan Gonzalo Martinez masing-masing meledak satu gol pada masa tambahan untuk kemenangan 5-3 River secara agregat selepas seri 2-2 pada perlawanan pertama.

Kali terakhir River menjulang trofi itu adalah pada 2015 dan ia kali keempat mereka merangkul kejuaraan itu sepanjang sejarah kelab.

Selepas tiga kali ditunda dan kemudian dipindahkan dari Buenos Aires ke Madrid, penyokong dua kelab gergasi itu membanjiri Santiago Bernabeu dan menunjukkan mengapa pertemuan itu dianggap antara yang paling hebat dalam bola sepak.

Turut menyaksikan perlawanan itu pemain bintang La Liga Sepanyol, Lionel Messi, Antoine Griezmann dan Diego Godin.

Madrid, yang juga gelanggang final Liga Juara-Juara Jun depan, dipilih berdasarkan rekod penganjuran acara besar dan faktor keselamatan yang termasuk 2,500 anggota polis, bagi memastikan peristiwa di Stadium El Monumental pada 24 November lalu tidak berulang.

Aksi timbal balik di laman River itu terpaksa ditunda selepas 50 penyokong tuan rumah menyerang bas pasukan Boca menyebabkan beberapa pemain mereka cedera. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:04 AM