PEMAIN Boca Juniors tiba di Madrid. FOTO/AFP
PEMAIN Boca Juniors tiba di Madrid. FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Boca Juniors tiba di Madrid awal pagi tadi bagi menghadapi perlawanan peringkat kedua Copa Libertadores menentang River Plate dan pihak berkuasa Madrid mempertingkatkan kawalan keselamatan menjelang perlawanan itu pada Ahad ini.

Hampir 5,000 penyokong Boca mengiringi bas pasukan pada awal pagi dari Stadium Bombonera menuju Lapangan Terbang Buenos Aires.

Dianggarkan 10,000 penyokong kedua-dua pasukan dijangka meninggalkan Argentina bagi menyaksikan final yang sebelum ini dua kali ditangguhkan dan stadium Real Madrid, Bernabeu dipilih menjadi venue pada Ahad ini.

Dengan jangkaan kehadiran puluhan ribu rakyat Argentina yang tinggal di Eropah, polis Sepanyol menganggap final itu adalah yang paling berisiko dalam sejarah Madrid.

Lebih daripada 2,500 pegawai dijangka bertugas untuk aksi 'Superclasico', salah satu saingan seteru setempat paling ‘ganas’ dalam bola sepak. Polis turut meminta bantuan daripada pihak keselamatan Argentina.

River Plate pula dijangka tiba esok di Madrid.

Kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam saingan peringkat pertama di Boca tetapi aksi peringkat kedua di Buenos Aires pada 24 November terpaksa ditunda selepas penyokong River menyerang bas yang membawa skuad Boca di luar Stadium Monumental.

Beberapa pemain Boca tercedera selepas terkena batu selain penyerang menggunakan serbuk cili.

Walaupun kedua-dua pasukan diperuntukkan 25,000 tiket namun hanya dibenarkan menjual 5,000 tiket kepada penyokong di Argentina bagi mengelakkan kebanjiran penyokong samseng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 1:12 PM