JURGEN KLOPP
JURGEN KLOPP
Agensi

LONDON: Jurgen Klopp percaya barisan tengahnya masih dalam pembikinan dan yakin dalam tempoh setahun, peminat akan mula memuji Naby Keita dan Fabinho sama seperti Alex Oxlade-Chamberlain.

Barisan tengah Liverpool sekali lagi dikritik susulan kekalahan 1-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara, Khamis lalu yang mengakibatkan Reds di ambang penyingkiran kejohanan elit Eropah itu.

Walaupun Liverpool belum tewas dalam aksi Liga dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Manchester City, kegagalan trio serangan - Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino menyamai persembahan musim lalu dikatakan menjadi punca.

Namun, ketiadaan gerakan kreatif daripada barisan tengah turut dipersalahkan.

Meskipun Klopp mengakui jentera tengahnya tidak cukup produktif seperti sebelum ini, beliau merasakan ia adalah sebahagian daripada proses pembangunan seperti yang ditunjukkan barisan pertahanan yang sebelum ini sering dipersalahkan.

“Dalam perlawanan tertentu kami boleh mengakuinya (serangan dan barisan tengah tidak berhubung),” kata Klopp menjelang aksi tetangga Merseyside bertemu Everton, tengah malam esok.

“Tetapi  sejujur-jujurnya bagi saya, ia agak pelik. Apabila segala-galanya cemerlang dan kami menjaringkan gol kamu bertanya mengenai pertahanan dan bagaimana kami boleh memperbaikinya?

“Kami memperbaikinya, dan ia sentiasa berlaku. (Kebiasaannya) Dalam langkah pertama ia akan mengakibatkan kamu kurang lancar dan kreativiti.

“Ia benar-benar perkara yang normal. Jika seseorang berfikir mengenainya hanya untuk (tempoh) sesaat, mereka akan dapat melihatnya dengan jelas, ia logik. 

“Kini kami perlu memperbaikinya, saya tidak boleh terus berkata kepada pemain: “Tidak cukup menyerang”. Ia akan menjadi sesuatu yang gila. Kami masih perlu meningkat dan itulah yang kami lakukan.”

Klopp turut menolak ada jalan penyelesaian mudah bagi masalah yang dihadapi Liverpool ketika ini iaitu ketika jendela perpindahan.

“Membawa seorang pemain akan mengubah semuanya? Ia langsung tidak masuk akal dan kamu semua mengetahuinya. Seorang pemain tidak mengubah apa-apa.

“Kami sudah mempunyai pemain yang sesuai. Kami perlu memenangi perlawanan.”

Sambil memberi contoh Chamberlain yang ketika ini diketepikan susulan kecederaan lutut, Klopp berkata, pemainnya itu dihukum terlalu cepat terutama oleh media pada musim lalu sebelum mula menampilkan taringnya sebenar.

“Pada masa yang sama pada tahun depan kita akan melihat orang bercakap mengenai Naby dan Fabinho seperti orang bercakap mengenai Oxlade tahun lalu.

“Pada awalnya, ia tiada di sana dan kami sentiasa disoal ‘apa yang istimewa mengenai Oxlade-Chamberlain? Saya dapat memahaminya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 1:33 PM