PEMAIN Sevilla Wissam Ben Yedder (kiri) melepasi halangan pemain  Valladolid. FOTO/AFP
PEMAIN Sevilla Wissam Ben Yedder (kiri) melepasi halangan pemain Valladolid. FOTO/AFP
Reuters

SEVILLE: Sevilla mengungguli puncak La Liga selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Real Vallodolid di laman sendiri awal pagi tadi dengan kelebihan satu mata di depan juara bertahan, Barcelona.

Pasukan kendalian Pablo Machin sedar kemenangan bakal meletakkan mereka di atas carta liga selepas Barca terikat 1-1 dengan Atletico Madrid, Sabtu lalu dan mereka memperoleh kemenangan itu menerusi tandukan penyerang Portugal, Andre Silva pada minit ke-30 permainan.

Sevilla terus mendahului permainan selepas dua jaringan penyerang pelawat, Enes Unal dinafikan kerana offside pada babak kedua perlawanan.

Selain itu, kecekapan penjaga gol tuan rumah, Tomas Vaclik turut memainkan peranan dalam perlawanan selepas menafikan percubaan dilakukan Unal pada masa kecederaan.

Sevilla kini mendahului carta dengan 26 mata selepas 13 perlawanan, mengatasi Barca yang ketika ini mengumpul 25 mata.

Atletico berada di tangga ketiga dengan 24 mata, manakala juara Eropah, Real Madrid di tangga keenam (20 mata) selepas dimalukan Eibar, 3-0 Sabtu lalu.

Jurulatih Sevilla, Machin berkata: "Saya tidak akan menggambarkannya sebagai satu kemenangan yang epik, terdapat detik tidak menentu, tetapi terima kasih kepada pertahanan yang memainkan peranan dengan baik dan juga kepada Tomas, dan keseluruhannya, kami layak untuk kemenangan ini."

Espanyol terlepas peluang keemasan untuk kembali berada dalam kelompok empat terbaik selepas mereka tewas 1-3 di laman sendiri oleh Girona.

Lebih derita, dua gol pada perlawanan itu dihasilkan bekas penyerangnya, Cristhian Stuani yang kini sebaris dengan Lionel Messi dalam carta penjaring terbanyak La Liga dengan 10 gol.

Pemain tengah veteran, Santi Cazorla menjadi sumber inspirasi buat Villarreal untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Real Betis sekali gus menamatkan badi enam perlawanan tanpa kemenangan liga sekali gus meletakkan mereka kini tiga mata di atas zon penyingkiran.

Cazorla melakukan hantaran kepada Gerard Moreno dan Samuel Chukwueze untuk mereka berdua melakukan penyudah diinginkan pada perlawanan menentang Betis yang menewaskan Barcelona 4-3 di Nou Camp, minggu lalu.

Pasukan pelawat menjaringkan gol saguhati pada masa kecederaan menerusi Giovani Lo Celso.

Dalam pada itu, Athletic Bilbao masih memburu kemenangan pertama mereka sejak hari pembukaan musim apabila hanya mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri dengan Getafe.

Keputusan itu meletakkan mereka yang belum pernah disingkirkan daripada saingan liga elit kekal berada di zon penyingkiran dengan 11 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 10:23 AM