RANIERI mula pimpin Fulham. FOTO/AGENSI
RANIERI mula pimpin Fulham. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Fulham perlu melupakan keajaiban dan beraksi seperti ‘lanun’ untuk kekal dalam Liga Perdana, menurut pengurus Claudio Ranieri pada sidang media pertamanya bersama kelab yang bergelut dengan penyingkiran itu.

Ranieri berkata beliau mengambil inspirasi dari Liverpool dalam usahanya mengekalkan Fulham dalam Liga Perdana.

Beliau menggantikan Slavisa Jokanovic pada minggu ini dengan Fulham kini di kedudukan tercorot apabila sekadar melakar satu kemenangan dan melepaskan 31 gol dalam 12 perlawanan.

Bekas pengendali Leicester itu berkata masalah mereka mampu diselesaikan dengan bertindak sebagai satu unit ketika bertahan dan menyerang, seperti yang dilakukan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

"Fulham melepaskan terlampau banyak gol," kata Raniero. "Saya pengurus dari Itali dan bagi kami adalah penting untuk tidak dibolosi.

"Kami perlu bermain secara bertahan dan ia merangkumi penyerang. Semua perlu terbabit, sama seperti menjaringkan gol iaitu bermula dari penjaga gol.

"Lihat jaringan pertama Liverpool (menewaskan Fulham 2-0 minggu lalu) yang bermula menerusi hantaran jauh (dari penjaga gol) disusuli jaringan."

Ketika di Leicester, Ranieri menawarkan untuk menghadiahkan pizza kepada pasukannya jika tidak dibolosi namun beliau berkata: "Saya perlu memikirkan sesuatu, pizza tidak mencukupi...semua ke McDonalds.

"Saya perlu lupakan apa yang dilakukan di Leicester. Kita perlu melihat ke depan. Saya seorang yang bercita-cita tinggi.

"Kita perlu bekerja keras. Leicester adalah bonus, sebuah kisah dongeng. Lupakannya, jangan fikirkan keajaiban, adalah penting berfikir untuk berjuang dan bersedia. Pemain, penyokong dan kelab perlu bersama-sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 9:56 AM