V SHEM dan Wee Kiong mara ke pusingan kedua Terbuka China. -Foto fail
V SHEM dan Wee Kiong mara ke pusingan kedua Terbuka China. -Foto fail
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Pasangan negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengutip kemenangan penting sebelum mara ke pusingan kedua badminton Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan gandingan Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto 22-20, 21-18.

Kemenangan itu jelas pemangkin semangat buat pasangan itu selepas mereka digugurkan daripada kejohanan di Eropah (Terbuka Denmark dan Perancis) bulan lalu.

V Shem mengakui bukan tugas mudah untuk mencipta kebangkitan yang bagus memandangkan dia baru saja pulih daripada cedera buku lali.

“Ini kejohanan pertama kami sejak sekian lama dan saya fikir kami bermain dengan baik hari ini. Ia perlawanan yang sukar, tetapi dengan saya baru saja pulih daripada cedera, saya fikir permainan kami tidak begitu teruk,” kata V Shem ketika dihubungi.

“Saya dan Wee Kiong juga teruja untuk cuba mendapatkan kembali prestasi terbaik kami. Penting untuk kami terus ke depan dan memastikan kami bermain dengan bersungguh-sungguh pada pusingan berikutnya.”

V Shem-Wee Kiong yang kembali digandingkan pada awal tahun ini oleh Persatuan Badminton Malaysia selepas berpisah seketika akan berdepan pilihan ketiga Liu Chen-Zhang Nan dari China di pusingan kedua.

Sementara itu, khabar kurang gembira buat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie apabila tewas 17-21, 19-21 kepada juara Olimpik, Ahmad Tontowi-Liliyana Natsir dari Indonesia.

Dua lagi gandingan negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing hanya turun ke gelanggang pada pusingan kedua esok.

Pemain lain yang turut beraksi termasuklah pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren dan Chong Wei Feng.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 7:50 PM