DURAKOVIC dijulang pemain  Perak selepas tamat perlawanan  di Stadium Shah Alam, semalam. FOTO   Eizairi  Shamsudin
DURAKOVIC dijulang pemain Perak selepas tamat perlawanan di Stadium Shah Alam, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin

Oleh Azizan Hashim

[email protected]

IPOH: Jurulatih Mehmet Durakovic tidak pulang bersama pasukan Perak ke Ipoh hari ini kerana mahu meraikan kejayaan The Bos Gaurus menjulang Piala Malaysia bersama ahli keluarganya di Shah Alam.

"Saya mahu menikmati dan meraikan kejayaan manis ini bersama ahli keluarga saya. Ada10 ahli keluarga saya yang datang dari Australia. Mungkin saya pulang ke Ipoh pada Selasa ini," kata Durakovic ketika dihubungi sebentar tadi.

Turut tiada dalam bas pasukan yang balik ke Ipoh hari ini ialah lima pemain kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Amirul Azhan Aznan, Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim dan Kenny Pallraj serta pemain import, Gilmar Jose Da Silva, Wander Luiz dan Leandro Dos Santos.

Jurulatih itu yang berbangga dengan kejayaan Perak menyifatkan ia sudah ketentuan takdir memandangkan Perak ketinggalan 2-0 dan 3-2 pada satu ketika tetapi bangkit menyamakan kedudukan di saat akhir masa tambahan.

"Jika sudah ditakdirkan Piala Malaysia milik Perak tidak ada apa dapat menghalangnya. "Pada mula keadaan nampak tidak memihak kepada kami tetapi kita hanya merancang tetapi tuhan menentukan, " ujarnya.

Mengenai kesilapan Idris Ahmad di minit pertama perlawanan dan kemudian penjaga gol, Hafizul Hakim sebelum rehat yang menyebabkan Perak ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama perlawanan, jurulatih itu menganggapnya sebagai perkara biasa.

"Semua orang buat silap. Itu biasa, Namun mereka menebusnya dengan memberi persembahan bermakna selepas itu. Hafizul menjadi wira pasukan dengan menafikan dua sepakan penalti lawan, " katanya.

Pengendali yang meraih pingat juara kelimanya termasuk empat bersama Selangor sebelum ini gembira berjaya membantu Perak memenangi trofi yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu selepas 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 3:09 PM