PASUKAN Perak menjalani latihan di Stadium Perak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu di Stadium Shah Alam sabtu ini. FOTO Abdullah Yusof
PASUKAN Perak menjalani latihan di Stadium Perak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu di Stadium Shah Alam sabtu ini. FOTO Abdullah Yusof
Azizan Hashim


IPOH: Mehmet Durakovic mengharapkan Perak untuk memenangi Piala Malaysia dalam tempoh 90 minit permainan, namun pengendali itu tetap bersedia dengan kemungkinan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Durakovic berkata, dia melakukan persiapan daripada setiap aspek termasuk penentuan penalti dengan melakukan latihan bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri sekiranya terpaksa mengharungi penentuan itu.

"Saya hanya tinggal dua hari (hari ini dan esok) untuk membuat persediaan sebelum hari penentuan (Sabtu) dan sudah tentu saya kena perhatikan setiap aspek supaya kami tidak menjadi mangsa keadaan,” kata Durakovic.

"Jangkaan saya banyak gol akan terhasil dalam perlawanan itu namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan disebabkan itu kami perlu bersedia."

Ditanya berkenaan strategi yang akan digunakannya bagi mengekang asakan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan akhir itu, Durakovic berkata dia tetap akan menerapkan corak permainan biasa yang berjaya membawa mereka ke final kali ini.

"Tidak ada strategi khas dan kami akan bermain cara yang kami tahu baik seperti sebelum ini. 

"Saya tahu Terengganu adalah sebuah pasukan yang bagus dan memiliki pemain tempatan serta import yang baik," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:57 PM