Fayyadh (kanan) mahu pastikan kejayaan pasukan berdepan China. FOTO OSMAN ADNAN
Fayyadh (kanan) mahu pastikan kejayaan pasukan berdepan China. FOTO OSMAN ADNAN
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Bukan hanya setakat mengharapkan ihsan Arab Saudi untuk menewaskan Tajikistan tetapi skuad bawah 19 (B-19) tahun negara juga perlu bekerja keras untuk menundukkan China pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D, esok.

Menyedari hakikat betapa hanya kemenangan yang mampu menghidupkan peluang skuad bimbingan Bojan Hodak itu mara ke suku akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, penyerang Hadi Fayyadh Abdul Razak mahu rakan sepasukannya berusaha bermati-matian untuk mengutip mata penuh pertama pada kejohanan itu.

“Berdasarkan situasi sekarang, memang nampak peluang kita agak sukar namun dalam bola sepak, apa sahaja boleh terjadi.

“Tumpuan kini adalah pada perlawanan terakhir bertemu China dan kami tahu aksi terbabit begitu penting kerana ia menentukan nasib kami dalam pertandingan ini.

“Kami akan memperbaiki kelemahan yang ada dan memberikan 100 peratus usaha di atas padang. Apapun, doakan kami supaya dapat memenangi perlawanan ini,” katanya.

Skuad negara dilihat tidak memiliki kelebihan selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan kerana bukan sahaja perlu menang selesa ke atas China tetapi perlu mengharapkan Arab Saudi meraih kemenangan selesa ke atas Tajikistan.

Selepas meledak dua gol dalam dua aksi, pemain yang pernah menjalani sesi latihan bersama kelab Jepun, Roasso Kumamoto dan Fagiano Okayama itu kini mahu terus memperaga aksi konsisten pada kejohanan berprestij itu.

“Dua gol ini terhasil menerusi usaha rakan sepasukan kerana tanpa mereka, sudah tentu saya tidak dapat menjaringkan gol. Jadi saya harap dapat terus membantu skuad negara.

“Saya dapat merasakan peningkatan dari segi persembahan selepas menjalani latihan di Jepun, jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yakult Malaysia kerana membawa saya menimba pengalaman di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 5:05 PM