CRISTIANO RONALDO
CRISTIANO RONALDO
AFP

MANCHESTER: Cristiano Ronaldo akan sentiasa dikenang di Old Trafford tetapi kepulangannya ke bandar itu minggu ini mungkin menjadi kenangan yang pahit buat Manchester United.

Ronaldo mencipta nama di Manchester dengan menjaringkan 118 gol, memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan gelaran pertama daripada lima kejuaraan Liga Juara-Juara yang diraihnya sebelum berpindah ke Real Madrid.

Awal pagi Rabu ini, Ronaldo akan kembali dengan menyarung jersi Juventus dengan misinya cukup jelas untuk membantu majikan baharunya mencapai kemenangan biarpun dipalit dengan tuduhan merogol di Amerika Syarikat.

Ronaldo menafikan dakwaan berkenaan dan mendapat sokongan padu daripada kelabnya tetapi masih belum jelas sama ada gelaran wira yang diberikan kepada kapten Portugal itu ketika kali terakhir berkunjung ke Old Trafford pada 2013 akan terus menjadi sebutan penyokong United.

Pada malam dia mengecewakan penyokong United termasuk mentornya, Alex Ferguson yang mengendalikan pasukan buat kali terakhir di pentas Eropah dengan dia menjaringkan gol kemenangan.

“Ia malam yang luar biasa, cukup beremosi dan apa yang dilakukan penyokong kepada saya sungguh bermakna,” kata Ronaldo selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun, Ronaldo tidak banyak masa untuk memikirkan mengenai sentimen dalam misinya untuk mencipta legasi.

Lima tahun lalu, misi dia adalah untuk membantu Real menamatkan kemarau bagi bergelar juara kali ke-10 Liga Juara-Juara tetapi ia mengambil setahun lebih untuk dia melakukannya.

Selepas itu dia berjaya melakukannya apabila Real memenanginya gelaran ke-11, 12 dan 13 sebelum berpindah ke Juventus sebaik tamat saingan musim lalu.

Itu cara Ronaldo mencipta legasinya dan tiada siapa sedar mengenainya kecuali pengurusnya pada malam dia merangkul gelaran di Manchester yang kini membimbing United, Jose Mourinho.

“Cristiano adalah pemain terbaik, saya fikir dia gemar kembali ke sini. Dia melakukannya ketika bersama Real tetapi sudah pasti apabila dia hadir dengan pasukan baharu, dia ada tugas yang perlu dilaksanakannya,” kata Mourinho.

Tugas utamanya kini adalah untuk memenangi Liga Juara-Juara bersama tiga kelab berbeza dan Juventus buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.

Sebab itu, Juventus sanggup membayar Real 112 juta euro (RM536 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 33 tahun berkenaan.

“Juventus adalah salah satu pasukan di Eropah yang melabur untuk memenangi Liga Juara-Juara. Mereka tidak perlu melabur untuk merangkul gelaran Serie A kerana mereka sudah memenanginya tujuh tahun,” kata Mourinho selepas majlis undian sebelum ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 12:04 PM