HAMILTON akan memulakan GP Amerika Syarikat di petak pertama. FOTO EPA
HAMILTON akan memulakan GP Amerika Syarikat di petak pertama. FOTO EPA
AFP

AUSTIN: Lewis Hamilton semakin hampir untuk merekodkan gelaran juara dunia kelima selepas dia menyambar petak depan pada perumbaan Formula Satu (F1), Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Pencabar utamanya, Sebastian Vettel dari Ferrari muncul pemandu kedua terpantas, tetapi dia hanya akan bermula di petak kelima selepas dikenakan penalti tiga petak ketika sesi ujian masa, semalam.

Hamilton yang membawa cabaran Mercedes akan menjadi pemandu ketiga merekodkan gelaran juara dunia sebanyak lima kali, jika berjaya mengatasi Vettel dengan kelebihan lapan mata menjelang perlumbaan yang berlangsung, awal pagi Isnin.

"Saya tahu ia sengit di antara kami, tetapi di pusingan kedua, saya beraksi lebih baik. Agak mengecewakan jika kami tewas dengan perbezaan masa yang sangat kecil.

"Saya bertekad untuk melakukan yang lebih baik di pusingan kedua, jadi saya sangat gembira dengan kejayaan ini,” kata Hamilton.

Sebagai rekod, ia adalah kali ketiga Hamilton meraih petak depan di Litar Amerika dan petak ke-81 sepanjang kerjayanya.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen mencatat masa ketiga terpantas diikuti Valteri Bottas dari Mercedes, manakala Daniel Ricciardo yang mewakili Red Bull kelima.

Pemandu Forces India, Esteban Ocon menamatkan saingan sebagai pemandu keenam terpantas diikuti Nico Hulkenberg dari Renault, Romain Grosjean (Haas), Charles Leclerc (Sauber) dan Sergio Perez (Force India).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:06 AM