PENGERUSI Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai. FOTO Owee Ah Chun
PENGERUSI Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai. FOTO Owee Ah Chun
Helmi Talkah

 

SEPANG: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan badan induk itu ada menghubungi bekas pakar beregu Indonesia, Rexy Mainaky bagi mengadakan rundingan mengisi jawatan pengarah kejurulatihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, selain Rexy beberapa lagi calon turut dihubungi dan ketika ini semuanya masih dalam proses rundingan.

“Rexy antara salah seorang yang kami hubungi. Ketika ini semuanya  dalam peringkat rundingan berhubung gaji, kontrak, KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan pakej-pakej lain.

“Semua calon yang kami hubungi masih ada kontrak dengan majikan mereka sekarang dan perkara ini memerlukan masa. Saya percaya awal tahun depan pelantikan akan dibuat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyambut kepulangan perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang memenangi pingat emas pada Olimpik Belia 2018 di Buenos Aires, Argentina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan Rexy bersedia kembali berkhidmat bersama BAM selepas meninggalkan badan induk itu pada 2012.

Jurulatih berusia 50 tahun itu ketika ini memikul tugas sebagai pengarah prestasi tinggi skuad Thailand sejak awal 2017.

Dalam pada itu, Chin Chai yang juga Setiausaha Kehormat BAM percaya badminton masih lagi relevan untuk menjadi sandaran bagi menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Olimpik Tokyo 2020.

Ia berdasarkan peningkatan prestasi ditunjukkan barisan pemain muda negara termasuk kejayaan Jin Wei di Buenos Aires selain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menjuarai Terbuka Taiwan dan Cheam June Wei yang mara ke final Terbuka Belanda.

“Masih relevan. Pertama sekali kemungkinan besar Datuk Lee Chong Wei (jaguh perseorangan lelaki) akan terus bermain tetapi paling penting adalah kebangkitan pemain muda seperti Jin Wei, Zii Jia dan June Wei.

“Selain itu, beregu lelaki kita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga mempamerkan peningkatan cukup positif. Kita juga masih ada pemain senior yang lain... jadi, peluang itu ada untuk kita raih emas pada Olimpik Tokyo,” katanya.

Chong Wei ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas disahkan menghidap kanser hidung. Dia yang selesai menjalani rawatan di Taiwan pulang ke tanah air, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 7:37 PM