NORZA kagumi dengan peningkatan Jin Wei. FOTO/FAIL
NORZA kagumi dengan peningkatan Jin Wei. FOTO/FAIL
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan pelaburan yang dibuat badan induk itu ke atas pemain muda mula membuahkan hasil yang positif.

 

Ini susulan kejayaan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, 18, yang memenangi pingat emas pada Olimpik Belia 2018 di Buenos Aires, Argentina, awal pagi tadi.

 

Minggu lalu, bintang muda negara dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, 20, merekodkan pencapaian terbesar dalam kerjayanya apabila menjuarai Terbuka Taiwan.

 

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata beliau bangga dengan prestasi menakjubkan Jin Wei yang mencipta sejarah memenangi emas pertama buat kontinjen Malaysia di temasya Olimpik Belia.

 

“Sejarah tercipta awal pagi ini. Saya cukup gembira dengan prestasi luar biasa Jin Wei. 

 

“Dengan kemenangan diraih Jin Wei dan  Zii Jia yang menjuarai Terbuka Taiwan minggu lalu, ini menunjukkan usaha BAM yang membuat pelaburan ke atas pemain muda mula membuahkan hasil positif.

 

“Jin Wei juga adalah pemain pertama yang memenangi Kejohanan Remaja Dunia dan emas Olimpik Belia.

 

“Saya pasti kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada dirinya untuk memenangi emas pada temasya Olimpik pula dan meraih banyak gelaran di pentas antarabangsa,” kata Norza.

Tampil sebagai pilihan ketiga, Jin Wei mengharumkan nama Malaysia di Buenos Aires apabila menyingkirkan pilihan kedua dari China, Wang Zhiyi 16-21, 21-13, 21-18 dalam aksi final yang berlangsung di Technopolis, pagi tadi.

 

Zii Jia pula meraih gelaran Terbuka Taiwan dengan menewaskan pemain Jepun, Riichi Takeshita 21-17, 16-21, 21-11 dalam aksi final.

Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau 14 tahun Malaysia dalam kejohanan itu sejak kali terakhir memenanginya menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 12:20 PM