Durakovic harap sokongan penonton akan lonjak semangat pemain. FOTO EFFENDY RASHID
Durakovic harap sokongan penonton akan lonjak semangat pemain. FOTO EFFENDY RASHID
Azizan Hashim


IPOH: Tiada lain yang diminta oleh Mehmet Durakovic daripada anak buahnya melainkan mereka memperagakan aksi terbaik ketika turun melayan Sabah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam esok. 

"Aksi terbaik serta tumpuan sepenuhnya dalam 90-93 minit perlawanan. 

"Pemain sudah bermain baik sepanjang musim dan saya berharap mereka mampu meneruskannya.

"Memang perlawanan ini dinanti-nantikan oleh pemain kerana sudah lama mereka tidak beraksi di peringkat ini,"  kata Durakovic menjelang perlawanan di Stadium Perak. 

Jurulatih berasal dari Australia itu berkata, Perak sudah lama tidak bermain di perlawanan akhir dan berharap mereka akan berjaya selepas menanti selama 11 tahun. 

Lebih penting Durakovic mengharapkan sokongan padu penyokong untuk menyemarak semangat pasukan The Bos Gaurus pada pertemuan penting itu. 

"Pemain harapkan sokongan penonton. Jadi datanglah dan sokong pasukan.

"Saya yakin seluruh rakyat Perak teruja dengan kejayaan pasukan setakat ini," katanya. 

Namun, beliau sedar perlawanan ini pasti tidak mudah kerana Sabah bukan calang-calang pasukan.

"Sabah pasukan kuat dan mereka pernah bertemu pasukan Liga Super serta berjaya mencatat keputusan baik. 

"Jadi pemain Perak tidak boleh bersikap terlalu yakin dan pandang mudah Sabah walaupun lawan pasukan Liga Perdana,” ujarnya. 

Bagi menghadapi perlawanan malam esok, Durakovic lega kerana dapat menurunkan barisan sama seperti ketika menentang PKNS FC di suku akhir.

“Kecuali kecederaan Nasir Basharuddin pemain lain yang mengalami kecederaan selepas perlawanan dengan PKNS FC sudah pulih," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 3:24 PM