PEMAIN Bayern Munich meraikan jaringan Mats Hummels. FOTO Reuters
PEMAIN Bayern Munich meraikan jaringan Mats Hummels. FOTO Reuters

MUNICH: Bayern Munich perlu beraksi seperti kebiasaan jika mahu mengembalikan semula dominasi di awal musim selepas diikat Ajax Amsterdam 1-1 dalam kempen Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri, awal pagi tadi, kata jurulatih Niko Kovacs.

“Kami perlu kembali kepada asas, mengurangkan hantaran yang buruk dan ikuti rentak perlawanan,” kata pengendali dari Croatia itu sambil menjadikan Ajax sebagai contoh.

“Lawan kami menunjukkan kepada kami bagaimana untuk melakukannya. Kini kami perlu melihat semula permainan kami, yang sebelum ini memberikan kami kemenangan dalam tujuh perlawanan musim ini.”

Keputusan seri bermakna persembahan konsisten dan dominan juara Jerman itu ketika ini tergugat selepas mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan selepas diikat oleh Augsburg dan dikalahkan Hertha Berlin dalam aksi Bundesliga.

“Ia bukan seperti kami bayangkan, ia bukan apa yang saya secara peribadi bayangkan, dan ini jelas bukan permainan yang baik untuk kami,” kata Kovac.

“Permainan kami negatif, lawan kami sentiasa terlebih dulu memperoleh bola kedua, kami hanya bermain dengan banyak hantaran yang buruk, kami mahukannya terlalu banyak, terlalu laju sebelum kehilangan bola dan juga keyakinan.”

Begitupun, Kovac berkata keputusan seri itu boleh disifatkan sebagai ‘titik kemenangan.’

Bayern memulakan kempen Liga Juara-Juara Kumpulan E dengan kemenangan 2-0 ke atas Benfica dan kini berkongsi kedudukan teratas bersama Ajax dengan empat mata.

Lawan berikutnya gergasi Jerman itu yang ketika ini menghuni tangga kedua Bundesliga adalah Borussia Moenchengladbach, Sabtu ini. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 9:34 PM