JURULATIH Napoli, Carlo Ancelotti. FOTO AFP
JURULATIH Napoli, Carlo Ancelotti. FOTO AFP
AFP

NAPLES: Jurulatih Napoli Carlo Ancelotti berkata, dia terkejut dengan pemilihan pengadil dari Hungary Viktor Kassai bagi mengadili aksi menentang Liverpool dalam Kumpulan C Liga Juara-Juara di Naples.

Pengendali dari Itali itu berang dengan Kassai selepas pasukannya Bayern Munich tersingkir daripada Liga Juara-Juara 2017 di tangan Real Madrid.

"Pengadil itu mengembalikan semula detik buruk musim lalu kepada saya," kata Ancelotti ketika sidang akhbar di Stadium San Paolo.

"Saya terkejut dengan pemilihan pengadil, masa berlalu boleh mengubati keadaan tetapi tidak menghilangkannya.”

Pengadil dari Hungary itu melayangkan kad merah kepada pemain tengah Bayern Arturo Vidal selepas mendapat dua kad kuning pada 2017 yang menyaksikan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol dalam posisi ofside pada masa kecederaan untuk kemenangan 6-3 secara agregat.

Selepas tamat perlawanan itu Ancelotti mendakwa Kassai tidak layak mengendalikan perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara.

Napoli menentang Liverpool pada awal Khamis ini. Dalam aksi pembukaan skuad kendalian Jurgen Klopp itu menewaskan Paris Saint-Germain 3-2 manakala kelab Itali itu seri 0-0 di Red Star Belgrade.

"Ini adalah aksi penting, kami perlu mencuba dan membawa pulang tiga mata selepas tercicir dua mata di Red Star,” kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 1:31 AM