PEMAIN Manchester United, Anthony Martial (tengah) ketika aksi menentang West Ham di Stadium London. FOTO Reuters
PEMAIN Manchester United, Anthony Martial (tengah) ketika aksi menentang West Ham di Stadium London. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Jose Mourinho mempertahan keputusannya menyenaraikan Anthony Martial berbanding Alexis Sanchez selepas Manchester United tumbang 1-3 kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Kekalahan kepada West Ham adalah yang ketiga buat United dalam tujuh aksi liga sekali gus merekodkan permulaan terburuk dalam kempen domestik selama hampir 30 tahun.

United hanya mengumpul 10 mata daripada tujuh perlawanan dengan kali terakhir keputusan buruk berkenaan dicatatkan adalah pada musim 1989/90 ketika era divisyen pertama sekali gus menambah tekanan buat pengurusnya dari Portugal itu.

“Selama beberapa bulan orang bertanya mengenai Martial,” kata Mourinho kepada BT Sport mengenai pilihannya di bahagian serangan. “Minggu ini adalah masa untuk bersetuju dan berkata mari beri peluang kepada Martial dan tinggalkan Alexis.”

United yang ketika ini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool dibolosi seawal minit kelima pada aksi di Stadium London menerusi jaringan Anderson.

Red Devils kemudian ketinggalan 0-2 sebelum babak pertama berakhir apabila rembatan Andriy Yarmalenko daripada luar kotak penalti tertampan Victor Lindelof untuk gol kedua.

Selepas kira-kura 60 saat pemain tengah kontroversi, Paul Pogba dikeluarkan, United merapatkan difisit menerusi jaringan Marcus Rashford pada minit ke-71.

Begitupun harapan untuk melihat kebangkitan dijana pelawat gagal apabila West Ham meledak gol ketiga menerusi Marko Arnautovic yang pernah bermain bersama Mourinho di Inter Milan pada minit ke-74.

Mourinho berkata jaringan pertama West Ham adalah ofsaid tetapi mengakui skuad kendaliannya tidak cukup ‘agresif’ ketika bertahan sebelum menambah kesilapan pengadil menjadi punca kepada jaringan Arnautovic.

“Kami tidak cukup agresif untuk menghalang rembatan itu,” kata Mourinho ketika ditanya mengenai jaringan sendiri Lindelof. “Gol ofsaid dan gol sendiri. 

“Gol ketiga membunuh mentaliti kami kerana pengadil tidak melihat kesilapan yang dilakukan sebelum itu. Saya tidak ada aduan mengenai sikap pemain. Kamu perlu sentiasa mencuba, ia adalah sifat semula jadi saya sebagai profesional.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 12:38 AM