Nuraini Rashid pada aksi pembukaan Serie A1 berdepan Pol Ferrinis HC, Ahad lalu. FOTO Ihsan BRHCC
Nuraini Rashid pada aksi pembukaan Serie A1 berdepan Pol Ferrinis HC, Ahad lalu. FOTO Ihsan BRHCC
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Pasukan Butterfly Roma HCC mungkin berminat melanjutkan kontrak Nuraini Rashid dan Fatin Syafika Mahd Sukri selepas aksi kemas kedua-dua tonggak negara itu dalam aksi pembuka tirai Serie A1 berjaya menambat hati presiden kelab Itali itu, Marco Grossi.

Perkara itu didedahkan bekas penyerang kebangsaan, S Selvaraju yang menjadi individu bertanggungjawab meyakinkan pasukan berpangkalan di Rome itu untuk mendapat khidmat kedua-dua pemain berkenaan.

"Nuraini dan Fatin beraksi dengan sangat baik, presiden dan penyokong kelab Butterfly Roma amat gembira dengan impak yang dipamerkan mereka setakat ini.

"Malah, tidak mustahil kelab itu bercadang memanggil mereka semula bagi pusingan kedua liga yang akan bersambung pada Mac depan selepas hanya menawarkan kontrak selama dua bulan sebelum ini," katanya.

Pada aksi Ahad lalu, Butterfly Roma yang ketinggalan 0-3 bangkit mengikat Pol. Ferrini HC 3-3 menerusi dua jaringan Nuraini manakala Fatin turut cemerlang dengan mencipta dua gerakan gol untuk memastikan pasukan itu meraih satu mata berharga.

Walaupun Serie A1 tidak mencapai prestij liga Belanda mahupun England, namun sejak akhir-akhir ini ia mula menarik kehadiran ramai pemain import terutamanya dari Argentina, malah tahapnya adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan Liga Hoki Wanita Malaysia.

Pada masa sama, Selvaraju yang turut beraksi di liga Itali bersama Kelab Pistoia berkata, kedua-dua pemain itu juga semakin menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

"Bagi saya pemain hoki mempunyai mental yang kuat untuk beraksi di luar negara, jadi tiada masalah untuk mereka segera menyesuaikan diri.

"Memang mereka ada mengirim makanan sebelum saya bertolak ke Itali Jumaat lalu, tetapi makanan bukanlah isu utama. Berdasarkan cuaca yang makin sejuk di sini, jadi mereka mungkin lebih gemar makanan yang ‘simple’," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 5:00 PM