Nasir Basharuddin
Nasir Basharuddin
Rodly Fadly

PERAK menerima khabar duka menjelang pertemuan dengan PKNS FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia, Selasa ini apabila kaptennya, Nasir Basharuddin disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan lutut kanan.

Ia sedikit sebanyak pasti menjejaskan kekuatan The Bos Gaurus namun Nasir percaya pengendali pasukan itu, Mehmet Durakovic sudah bersedia dengan pelan B selepas pemeriksaan doktor baru-baru ini mengesahkan dia perlu berehat lebih panjang.

“Saya mengalami kecederaan ini selepas berlanggar dengan pemain Kemboja semasa aksi persahabatan bersama pasukan kebangsaan. Ketika itu lutut saya bengkak dan sangat sakit.”

“Pada awalnya saya jangka ia tidak serius dan sempat pulih untuk mewakili Perak pada suku akhir. Tapi, pemeriksaan doktor baru-baru ini menjangkakan berlaku keretakan.

“Saya akan menjalani pemeriksaan kali kedua beberapa hari lagi untuk melihat sejauh mana seriusnya kecederaan itu.”

“Namun untuk perlawanan menentang PKNS, Selasa ini memang sah saya tidak dapat bermain,” jelas Nasir.

Nasir mengakui situasi berkenaan menyebabkan dia berasa sangat kecewa kerana gagal membantu Perak melaksanakan misi mengatasi badi kekalahan kepada lawannya itu.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini memihak kepada PKNS apabila mengalahkan Perak 4-1 dan 2-0 pada pertemuan Liga Super serta mengecewakan anak buah Durakovic itu di suku akhir Piala FA dengan agregat 4-3.

“Semua pemain bertekad untuk menamatkan badi itu. Walaupun tidak dapat bermain, semangat saya tetap bersama mereka dan saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik.

“Apatah lagi ini adalah perlawanan suku akhir yang menentukan hidup mati perjuangan kami dalam Piala Malaysia. Selepas gagal menjuarai liga dan Piala FA, hanya tinggal piala ini untuk kami rebut.”

“Kami sudah belajar daripada empat perlawanan itu. Senjata utama PKNS adalah situasi bola mati terutama dalam kawasan kami.

“Jadi, kami perlu mengelak daripada melakukan kesalahan dalam kawasan sendiri terutama pada jarak 20 atau 30 meter dari pintu gol mahupun sepakan sudut kerana mereka bijak menghasilkan jaringan daripada situasi itu,” kata Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 10:34 PM