Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan bekas pakar beregu Indondesia, Rexy Mainaky berada dalam senarai pendek bagi dilantik sebagai pengarah kejurulatihan badan induk itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata selain Rexy beberapa lagi calon turut dipertimbangkan bagi memegang jawatan itu dan ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Ya, Rexy ada dalam senarai pendek yang diputuskan C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) yang dipengerusikan Datuk Ng Chin Chai. Namun, kami belum lagi berhubung dengan beliau mengenai perkara ini.

“Kami terbuka dengan mana-mana calon yang difikirkan berpotensi untuk jawatan ini,” kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

REXY MAINAKY
REXY MAINAKY

Rexy sebenarnya bukan nama asing buat skuad badminton negara kerana pernah berkhidmat bersama BAM selama tujuh tahun bermula 2005 hingga 2012 sebagai ketua jurulatih beregu lelaki dan wanita.

Antara pencapaian gemilangnya ketika itu adalah membawa pasangan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bergelar beregu lelaki nombor satu dunia selain meraih beberapa gelaran utama termasuk Seluruh England 2007 dan pingat emas Sukan Asia 2006.

Rexy ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai pengarah prestasi skuad badminton Thailand dan kredibilitinya terbukti apabila skuad wanita negara itu berjaya mara ke pentas final Piala Uber di Bangkok, Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, BAM mengesahkan pemain Akademi Sports Affairs, Aidil Sholeh Ali Sadikin disenaraikan untuk beraksi di Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2018 di Kanada, November depan.

“Dua minggu lepas BAM menjalankan sesi pemilihan pemain ke Kejohanan Remaja Dunia dan Aidil turut menghadirinya. Kami boleh sahkan yang dia terpilih, cuma kami belum mengeluarkan senarai penuh saja,” kata Chin Chai.

Sebelum ini, timbul rasa tidak puas hati apabila Aidil dikatakan tidak terpilih ke Kejohanan Remaja Dunia biarpun prestasinya lebih cemerlang berbanding pemain naungan BAM termasuk muncul juara remaja kebangsaan dan mara ke final Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 7:40 PM