RICHARLISON (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika Brazil membenam El Savador 5-0. -Foto AFP
RICHARLISON (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika Brazil membenam El Savador 5-0. -Foto AFP
AFP

WASHINGTON: Richarlison meraikan penampilan penuh dalam kesebelasan utama buat Brazil dengan menjaringkan dua gol ketika pasukan gergasi Amerika Selatan itu membelasah El Salvador 5-0 di FedEx Field di sini, hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Everton dari Watford awal tahun ini dengan harga AS$52 juta (RM216 juta), menghasilkan jaringan magis pada minit ke-16 dan 50 sekali gus membalas kepercayaan pengurus Tite terhadapnya.

El Salvador jarang mencipta peluang dan Brazil, diketuai bintang Paris Saint-Germain, Neymar yang beraksi sepanjang 90 minit, bertindak cemerlang di depan penyokong mereka di ibu negara Amerika Syarikat itu.

Tite dan staf kejurulatihannya sedia membuka lembaran baru selepas kekecewaan Piala Dunia pada musim panas lalu yang mana mereka tewas kepada Belgium pada suku akhir dan kini fokus terhadap Copa America 2019 di Brazil.

Jurulatih Brazil itu menamakan pasukan kuat bagi aksi kedua jelajah mini dua perlawanan - menewaskan AS 2-0 di New Jersey, Jumaat lalu - dengan pemain seperti Neymar, Douglas Costa, Philippe Coutinho semuanya dalam kesebelasan utama.

Richarlison, yang melakukan penampilan sulungnya sebagai pemain gantian pada perlawanan pertama, tampil dalam kesebelasan utama buat julung kali begitu juga pemain tengah Barcelona, Arthur.

Selepas hanya dua minit, juara dunia lima kali itu membuka tirai jaringan.

Ia keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan - pertahanan Roberto Dominguez, yang beraksi buat Vancouver dalam MLS, didakwa menjatuhkan Richarlison dalam kotak penalti sekali gus membolehkan Neymar tampil menjaringkan gol ke-59 buat Selecao.

Empat lagi gol menyusul, dua menerusi Richarlison, Coutinho pada minit ke-30 dan pertahanan PSG, Marquinhos pada minit terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 11:33 AM