LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona (kiri) kelihatan berehat selepas selesai mengendali sesi latihan kelab divisyen dua Mexico. FOTO Reuters
LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona (kiri) kelihatan berehat selepas selesai mengendali sesi latihan kelab divisyen dua Mexico. FOTO Reuters
Agensi

CULIACAN, Mexico: Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona mula menjalankan tugas sebagai pengurus baru kelab divisyen dua Mexico.

Pemain yang menjuarai Piala Dunia 1986 itu berkata, pengalaman barunya itu bagaikan kelahiran semula selepas sekian lama dibelenggu ketagihan dadah, alkohol dan obesiti.

Bagaimanapun pemilihan kelab Dorados dalam negeri Sinaloa yang menjadi salah satu kubu sindiket pengedaran dadah mengejutkan peminat bola sepak.

Maradona berkata, dia akan mengamalkan taktik menyerang, sama seperti caranya bermain.

"Kami akan beraksi untuk menang, saya tak suka cara defensif,” kata Maradona dalam sidang akhbar.

Maradona turut mengenang kembali kesukaran hidup masa lampaunya. “Saya melakukan banyak kesilapan dalam hidup. Tanggungawab baru ini saya anggap seperti seseorang yang memegang bayi,” katanya.

"Ketika saya mengambil dadah, saya seperti berundur ke belakang. Sepatutnya pemain bola sepak perlu terus maju ke hadapan.”

Walaupun media tempatan melaporkan penduduk di kawasan kejiranan mewah yang bakal menjadi tempat tinggal Maradona tidak menyenangi kehadiran Maradona, penyokong Dorados tetap memberi sokongan padu kepadanya.

"Kami percaya anda, Diego. Kami bukan mengkritik, kami hanya mengkagumi,” kata salah seorang peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 10:33 PM