PENJAGA gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PENJAGA gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya kemungkinan besar menjadi pemain pertama dari Malaysia beraksi di liga utama England apabila mendapat tawaran daripada pasukan East Grinstead HC. 

Menariknya, pasukan berkenaan bukan calang-calang, sebaliknya mempunyai reputasi hebat menamatkan saingan empat terbaik musim lalu serta dibarisi beberapa pemain utama yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Great Britain. 

Difahamkan pasukan berkenaan berminat untuk mendapatkan Farah selepas penjaga gol utama negara  itu menyelamatkan tiga penalti stroke ketika Malaysia bertemu England di saingan Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu. 

Berada pada proses rundingan akhir ketika ini, Farah secara peribadi teruja untuk beraksi bersama pasukan itu. 

"Pada awalnya saya agak berbelah bagi juga hendak pergi sebab memikirkan beberapa faktor seperti perlu berdikari sendiri selain bimbang dengan prestasi saya. 

"Tapi apabila jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) memberi kata-kata semangat, saya akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran itu. 

"Cuma ketika ini masih ada beberapa proses yang perlu diselesaikan terlebih dulu," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Jelas Farah, tawaran daripada pasukan itu umpama rezeki untuknya selepas berdepan kekecewaan di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di kedudukan kelima. 

"Jika ia benar-benar menjadi kenyataan, saya anggap ia sebagai satu rezeki dan mengubati kekecewaan di Sukan Asia," katanya. 

Sebelum ini, tujuh pemain skuad kebangsaan sudah dilamar pasukan luar. 

Mereka adalah Raja Sharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said yang ke Glasgow, Scotland mewakili pasukan Uddingston, sementara Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti bersama Wespen Zehlendorfer yang bersaing dalam saingan utama Liga Jerman. 

Nuraini Rashid dan Fatin Shafika Sukri pula ke Itali beraksi bersama bersama  Butterfly Roma Hockey Club.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 8:02 PM