WIJNALDUM (kiri) gesa rakan sepasukan pamer aksi sebenar di setiap perlawanan. FOTO/AFP
WIJNALDUM (kiri) gesa rakan sepasukan pamer aksi sebenar di setiap perlawanan. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Liverpool perlu mengerah segala sumber bagi mengharungi kempen sukar di pentas domestik dan Eropah selepas rehat aksi antarabangsa, kata pemain tengah Georginio Wijnaldum.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dijadual bertemu Tottenham Hotspur, Southampton, Chelsea dan Manchester City selepas saingan elit itu menyambung aksinya pada 15 September ini.

Finalis Liga Juara-Juara musim lalu itu juga akan bertemu juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), Napoli dan Red Star Belgrade di pentas Eropah selain menanti kunjungan Chelsea pada pusingan ketiga Piala Liga.

“Ia akan menjadi tempoh yang amat sukar buat kami, bukan saja kerana perlawanan yang penting, tetapi kerana kami turut mengharungi aksi yang banyak,” kata Wijnaldum yang juga pemain kebangsaan Belanda kepada laman web Reds.

“Dalam tempoh seperti ini kamu memerlukan keseluruhan skuad.”

Liverpool berdepan cabaran sukar daripada Kumpulan C di Liga Juara-Juara tetapi Wijnaldum berkata semua aksi peringkat kumpulan dalam saingan berkenaan adalah sukar dan ia memberi mereka keyakinan.

“Kami tahu PSG pasukan yang baik. Kami sudah bermain menentang Napoli pada pramusim dan kami menang 5-0. Tetapi kami masih tahu mereka pasukan yang bagus dan beberapa kelemahan dalam perlawanan itu yang kami perlu perbaiki,” katanya.

Liverpool melakar 100 peratus kemenangan dalam aksi liga selepas empat perlawanan tetapi Wijnaldum berkata peningkatan berterusan diperlukan selepas terpaksa bergelut sebelum menang ke atas Brighton & Hove Albion, Leicester City dan Crystal Palace.

“Kami perlu beraksi lebih baik, tetapi keputusan adalah perkara yang paling utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 7:20 PM