PENYERANG Liverpool, Roberto Firmino. FOTO Agensi
PENYERANG Liverpool, Roberto Firmino. FOTO Agensi
AFP

LIVERPOOL: Roberto Firmino sedang berusaha menamatkan kemarau gol apabila Liverpool bertemu Leicester biarpun pengurus pasukan, Jurgen Klopp tidak bimbang kemerosotan prestasi pemain itu.

Bintang antarabangsa Brazil itu membentuk satu formasi terbaik di bahagian serangan dalam aksi bola sepak Eropah sepanjang 12 bulan lalu bersama gandingannya Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Pemain berusia 26 tahun itu menandatangani perjanjian bernilai £29 juta (RM155.3 juta) dari Hoffenheim tiga tahun lalu meneruskan rentak menakjubkan bersama Liverpool apabila mencatatkan tiga kemenangan aksi liga tanpa bolos sratakat ini.

Biarpun meledakkan 27 gol musim lalu, Firmino masih memburu gol pertamanya musim ini ketika Liverpool kini gah di carta liga sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Penyerang itu masih belum menemui sentuhan jaringan buat barisan bimbingan Klopp sepanjang lapan perlawanan lalu dan hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam aksi Liga Perdana dalam 10 penampilannya yang lalu.

Namun Firmino dilihat antara salah satu sebab utama mengapa Salah mampu meneruskan aksi luar biasa musim lalu dengan  44 gol untuk Klopp dalam semua pertandingan.

Pengendali Liverpool itu mengakui, beliau tidak bimbang dengan aksi Firmino yang beraksi di Piala Dunia sebelum ini biarpun pasukan Brazil terkeluar daripada saingan di peringkat suku akhir.

“Dia hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk pra musim yang menyaksikan ia sebenarnya tempoh yang agak pendek buat pemain yang memerlukan kecergasan fizikal seperti Roberto tapi saya sangat gembira,” kata Klopp.

“Selepas menempuh persediaan selama dua minggu dan cuti di Brazil, dia lebih tajam dan lebih baik daripada apa yang saya jangkakan. Ini sebenarnya yang dia perlu pada ketika ini dan dia mampu menjadi lebih baik seperti juga kami yang boleh terus memperbaiki kelemahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 11:41 AM