PEMAIN skuad B-23 bergambar sebelum aksi menentang Kyrgyzstan. FOTO Football Association of Malaysia (Official)
PEMAIN skuad B-23 bergambar sebelum aksi menentang Kyrgyzstan. FOTO Football Association of Malaysia (Official)
Aziman Rosdi


GANDINGAN serangan tiga serangkai - Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad - jelas berbisa apabila masing-masing meledak gol untuk memastikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara membuka langkah kanan dengan menewaskan Kyrgyzstan 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan E Sukan Asia Jakarta-Palembang, sebentar tadi.

Tiga mata yang diraih di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung itu pasti menyuntik keyakinan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang bakal berdepan tugas lebih getir menentang juara bertahan, Korea Selatan, Jumaat ini sebelum aksi terakhir dengan Bahrain pada Isnin.

Dalam aksi itu, Kim Swee mempertaruhkan barisan sama ketika menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 dalam aksi pemanas badan kecuali memasukkan penjaga gol Haziq Nadzli bagi mengambil tempat Ifwat Akmal Chek Kassim untuk kekal dengan formasi 3-4-3.

Sebaik permainan bermula, Kyrgyzstan yang dibimbing Igor Kudarenko lebih awal mendapat rentak dengan membuat percubaan awal menerusi Kairat Zhyrgalbek pada minit ketiga.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-13 apabila penyerang Syafiq Ahmad melorongkan bola kepada Akhyar Rashid namun dia terlambat untuk menolak bola ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Kalysbek Akimaliev.

Kepantasan Akhyar jelas mengundang masalah kepada pertahanan lawan apabila pemain muda Kedah itu dijatuhkan kapten, Tamirlan Kozubaev untuk pengadil Lau Fong Hei menghadiahkan sepakan penalti.

Safawi yang diberikan tugas untuk menyempurnakan sepakan itu menyaksikan bola rembatan kaki kirinya singgah di tiang gol sebelum melantun menerjah ke gawang untuk Malaysia mendahului 1-0 pada minit ke-37.

Anak buah Kim Swee diasak pada babak kedua oleh Kyrgyzstan yang akhirnya berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-55 apabila penyerang, Ernist Batyrkanov yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola hantaran Mustafa Iusupov.

Namun, Akhyar sekali lagi mencuri tumpuan apabila melepaskan rembatan menarik dari dalam kotak penalti selepas menerima bola hantaran lintang Safawi untuk membolehkan Malaysia kembali mendahului 2-1 pada minit ke-55.

Safawi sekali lagi menjadi perancang kepada serangan skuad negara apabila bola umpanannya dari sebelah kanan ditanduk masuk Syafiq untuk memastikan Malaysia selesa mendahului 3-1 di minit ke-78.

Skuad negara sepatutnya boleh berpesta gol namun beberapa percubaan menerusi gerakan solo Akhyar gagal menepati sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 7:10 PM