MEHMET DURAKOVIC
MEHMET DURAKOVIC
Oleh Azizan Hashim

IPOH: Pemain Perak diharap tidak mensia-siakan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila melayan kunjungan Terengganu dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, malam esok.

Gesaan itu dibuat oleh jurulatih Perak, Mehmet Durakovic dalam usaha mencapai impian mengutip mata penuh selepas gagal berbuat demikian ketika bertemu FELCRA FC minggu lalu.

“Kami perlu menang malam esok jika tidak mahu dikecam penyokong sendiri. Jentera serangan Perak perlu lebih menyengat,” kata Durakovic.

Jurulatih itu sedar tugas berat menanti anak buahnya kerana pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim ketika ini berada pada tahap terbaik membaham Kuala Lumpur, 5-1 untuk mendahului kumpulan A.

Durakovic bagaimanapun yakin skuad bimbingannya berupaya untuk menamatkan kempen kali ini dengan cemerlang.

Katanya, apa yang perlu dilakukan pemain Perak ialah mengutip mata dalam semua baki perlawanan mereka bermula perlawanan malam esok.

Jika ada yang membimbangkan pengendali pasukan The Bos Gaurus itu ialah kecederaan pemain utama Shahrul Saad dan Amirul Azhan Aznan yang belum pasti dapat diturunkan.

“Ketiadaan pemaIn utama sedikit sebanyak menjejas kemampuan pasukan walaupun pemain gantian berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab diberi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 10:36 PM