FARINA optimis cipta kejutan. FOTO/FAIL
FARINA optimis cipta kejutan. FOTO/FAIL
Haika Khazi


PELUMBA basikal trek wanita negara, Farina Shawati Mohd Adnan, tetap optimis mampu mencipta kejutan andai kata beliau berjaya layak ke final acara keirin di Sukan Asia Jakarta Palembang, pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, Farina mengakui masih banyak perkara perlu dilakukan andainya mahu mengatasi saingan dari pelumba Jepun, China, Korea Selatan dan Hong Kong yang menjadi pencabar utama dalam acara keirin.

"Biarpun hanya mendapat tempat kelapan dalam acara keirin di kejohanan lumba basikal Piala Trek China 2018, saya tetap yakin mampu pergi lebih jauh dan mencipta kejutan di Sukan Asia nanti.

"Saya juga berharap dapat mengatasi catatan masa terbaik 11.4 saat dalam acara 200 meter pecut individu di Sukan Asia nanti, selain mampu memberi saingan kepada wakil negara lain dalam acara pecut berpasukan," katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai di sini.

Sebelum ini media melaporkan Farina terpaksa berpuas hati menduduki tempat keempat selepas melalui pusingan 'repechage' dan seterusnya ke peringkat separuh akhir dan akhir dalam acara keirin di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Australia pada 8 April lalu. 

Acara keirin wanita Sukan Komanwel 2018 dikuasai pelumba tuan rumah, Stephanie Morton dan Kaarle McCulloch yang masing-masing meraih emas dan perak manakala pingat gangsa menjadi milik pelumba New Zealand, Natasha Hansen.  

Nama Farina yang berasal dari Selangor mula meningkat naik selepas beliau muncul juara acara pecut 200 meter berbasikal trek wanita di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak, pada 2016. 

Populariti Farina terus meningkat selepas beliau dan Fatehah Mustapha mencipta kejayaan dengan meraih emas acara pecut berpasukan wanita dengan masa 34.671s selepas menewaskan Indonesia di final di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, Farina terpaksa melupakan hasrat untuk bergandingan dengan Fatehah dalam acara pecut berpasukan selepas pelumba berasal dari Dungun, Terengganu berkenaan digugurkan dari mewakili Malaysia ke Sukan Asia secara mengejut oleh Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, pada Jun lalu.

Berikutan itu Farina akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba basikal muda negara, Anis Amira Risidi bagi meneruskan cabaran Malaysia dalam acara pecut berpasukan di Sukan Asia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 5:29 PM