PENYERANG Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO Agensi
PENYERANG Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO Agensi
Reuters

ROBERT Lewandowski  mahu meninggalkan Bayern Munich namun juara Bundesliga itu enggan menjual penyerang prolifik mereka pada musim perpindahan ini, kata pengurus Niko Kovac.

Lewandowski, penyerang Poland itu adalah penjaring terbanyak Bayern dalam tiga daripada empat musim terakhir sejak menyertai kelab itu pada 2014 dan meledak 40 gol dalam ketiga-tiga musim terakhir.

Pencapaiannya itu membantu kelab melebarkan penguasaan mereka di peringkat domestik, menjuarai empat gelaran liga Jerman namun laporan media menyatakan bahawa Lewandowski yang kontraknya bersama Bayern kekal sehingga 2021 mahu mencuba nasib di kelab lain.

“Tiada perkembangan baru membabitkan Robert. Dia tidak akan meninggalkan kelab kerana dia adalah penjaring terbaik dan sudah pasti kami tidak akan menyerahkannya,” kata Kovac.

“Memang benar Robert terfikir mahu bermain di tempat lain. Hakikatnya, itu apa yang dia mahu sedangkan kami mahukan sebaliknya.

“Kami adalah FC Bayern, kami mempunyai penjaring terbanyak. Kami tidak mahu membiarkan diri terpengaruh dengan pujukan luar. Robert masih mempunyai kontrak. Dia akan kekal di sini selama mungkin.”

Kovac, bekas pengurus  Eintracht Frankfurt dan Croatia juga berkata beliau tidak menjangkakan situasi semasa musim perpindahan akan mengganggu Lewandowski pada kempen baru ini.

“Dia seorang pemain profesional dan sedar ada sesuatu yang perlu dibuktikan kepada dirinya dan yang lain. Dia menyedarinya tetapi kami akan katakannya sekali lagi, dia juga perlu bersungguh-sungguh,” kata Kovac.

“Dia juga mahu menjaringkan gol dan menjadi seorang yang berjaya. Lewandowski melambangkan kejayaan dan gol dan dia akan terus buktikannya pada masa depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 11:01 PM