CHEAM June Wei. FOTO Eizairi Shamsudin
CHEAM June Wei. FOTO Eizairi Shamsudin
Fabian Peter


CHEAM June Wei mungkin tidak dapat mengisi lompong yang ditinggalkan Datuk Lee Chong Wei tetapi pemain muda negara itu sedia mencetus impak di Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.

June Wei, 23, disenaraikan dalam skuad Sukan Asia negara bagi menggantikan Chong Wei yang terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan, semalam.

“Saya masih terkejut,” kata pemain nombor 81 dunia itu ketika dihubungi, hari ini. “Saya tidak mengetahuinya sehinggalah semalam selepas diberitahu jurulatih Hendrawan menerusi mesej.

“Ia menyedihkan, cara bagaimana Chong Wei terpaksa menarik diri tetapi saya akan memberikan yang terbaik.

“Peluang untuk kami memenangi pingat sentiasa ada jika kami boleh bermain dengan baik ketika kejohanan. Semuanya tidak mustahil.”

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelmarin mengesahkan Chong Wei akan menarik diri daripada Kejohanan Dunia di China dan Sukan Asia selepas jaguh perseorangan negara itu mengalami masalah berkaitan pernafasan.

Difahamkan, pemenang tiga pingat perak Olimpik itu memerlukan sekurang-kurang sebulan rehat daripada melakukan sebarang aktiviti fizikal.

Berikutan itu, Jun Wei dinamakan sebagai penggantinya di Indonesia sekali gus menyingkirkan beberapa pemain lebih senior seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soon Joo Ven.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Sukan Asia dalam badminton pada 2006 menerusi gandingan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 9:47 PM