JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO Agensi
JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO Agensi
AFP

JURGEN Klopp enggan skuad kendaliannya Liverpool terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ketika jendela perpindahan kerana fokus kelab itu adalah untuk mencabar trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool membelanjakan £174 juta pound (RM925.25 juta) untuk mendapatkan pemain tengah, Naby Keita dan Fabinho, pemain sayap Xherdan Shaqiri serta mungkin paling penting, penjaga gol Brazil Alisson.

Begitupun ketika peminatnya tampak lega dengan kemampuan pasukan yang ketika ini dilihat mampu mencabar kejuaraan, fokus Klopp adalah menghadapi ujian pra-musim yang berlangsung selama dua minggu.

“Bagi saya dua minggu terakhir ini adalah minggu yang paling penting dalam keseluruhan pra-musim,” kata pengurus kelahiran Jerman itu kepada LFC TV.

“Kerja saya bukan untuk menjadi teruja. Saya sedar suasana sekarang amat positif. Kami bermain di final (Liga Juara-Juara), kami tidak menang tetapi ia masih positif.”

Klopp turut memberi amaran kepada pemainnya supaya jangan leka.

“Kami perlu bersedia untuk mengharungi cabaran yang besar, sasaran yang besar. Kami perlu agresif, menjadi pasukan yang tamak dan dipenuhi keinginan untuk menang setiap perlawanan.

“Semua pasukan lain mempunyai kualiti seperti kami jadi kami perlu bersedia untuk bertarung, bukan meraikan pembelian pemain dan perkara seperti itu.”

Liverpool yang menamatkan saingan EPL musim lalu di tangga keempat ketika ini sedang mengharungi kejohanan pra-musim Piala Juara-Juara Antarabangsa di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:47 AM