LUIS ENRIQUE
LUIS ENRIQUE

MADRID: Jurulatih baru Sepanyol, Luis Enrique berkata, penekanan utamanya dalam membimbing skuad juara dunia 2010 itu adalah lebih kepada evolusi dan bukannya revolusi, namun bekas pengurus Barcelona itu turut berjanji akan melakukan beberapa kejutan.

Dikenali dengan corak permainan tiki taka, Sepanyol bergelut pada saingan Piala Dunia selepas muncul antara pasukan pilihan di kejohanan berprestij itu.

Persediaan mereka terjejas selepas jurulatih, Julen Lopetegui dipecat beberapa hari sebelum bermulanya saingan selepas beliau mendedahkan akan menyertai Real Madrid dengan tugasnya diambil alih sementara oleh Fernando Hierro.

Mereka hanya meraih satu kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan ketika bertemu Iran dan kemudian disingkirkan oleh tuan rumah, Russia pada pusingan 16.

“Tiada revolusi tetapi lebih kepada evolusi. Anda boleh mempelbagaikan gaya permainan tanpa perlu mengubahnya seperti ketika saya melatih Barcelona.

“Bola sepak adalah evolusi yang berterusan dan itulah perkara yang menjadi keutamaan ketika ini.

“Kita boleh bermain bola dengan baik tetapi ada beberapa aspek lain yang perlu juga diperbaiki.

Enrique yang melatih Barcelona antara 2014 hingga 2017 dengan memenangi dua kejuaraan La Liga serta Liga Juara-Juara pada 2015 turut menegaskan beliau akan memilih pemain berdasarkan kepada corak permainan mereka berbanding reputasi.

“Saya tidak sabar untuk mengumumkan skuad utama yang pastinya bakal banyak kejutan. Dalam senarai awal saya mempunyai kira-kira 70 pemain.

“Adalah baik untuk mereka tahu sama ada terpilih atau tidak dan saya juga belum bercakap dengan mana-mana pemain,” katanya.

  Tugasan pertamanya adalah untuk menyelesaikan masa depan pertahanan Barcelona, Gerard Pique.

  Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara dari bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia, namun tidak menyatakannya secara terbuka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:19 PM