AKSI Perisic selepas menjaringkan gol penyamaan dalam aksi separuh akhir Croatia menentang England. Foto/REUTERS
AKSI Perisic selepas menjaringkan gol penyamaan dalam aksi separuh akhir Croatia menentang England. Foto/REUTERS
AFP

IVAN Perisic berkata, gol penyamaan jaringannya yang membantu Croatia bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan England 2-1 dalam masa tambahan dan mara ke final Piala Dunia adalah impiannya sejak kanak-kanak.

Pemain sayap Inter Milan itu memanfaatkan hantaran Sime Vrsaljko di pertengahan babak pertama untuk mengikat kedudukan selepas jaringan awal Kieran Trippier menerusi sepakan percuma minit kelima.

Mario Mandzukic mencetus kemenangan Croatia pada minit ke-109 untuk membawa negaranya bertemu Perancis pada aksi final Ahad ini.

“Ia perlawanan yang sukar. Kita semua tahu apa pertaruhannya dan betapa penting separuh akhir ini untuk negara kecil seperti Croatia,” kata Perisic.

“Kami bermula perlahan, tetapi kami menunjukkan karakter kami seperti pada dua perlawanan kalah mati sebelum ini di mana kami ketinggalan satu gol. Kami tidak biasa dengan kebangkitan sebegini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong kami di Moscow dan setiap orang di Croatia yang turut memberikan sokongan padu.”

Dengan jumlah penduduk sekitar empat juta orang, Croatia adalah negara paling kecil pernah mara ke final Piala Dunia sejak Uruguay menjulang trofi berkenaan pada tahun 1950.

Perisic, 29, turut mengimbau kenangan menonton penampilan terakhir Croatia di separuh akhir pada tahun 1998, perlawanan dimenangi tuan rumah, Perancis yang akhirnya menjadi juara.

“Saya berada di kampung halaman saya. Saya menyokong Croatia dan memakai jersi Croatia. Saya hanya mampu menanam impian beraksi untuk negara dan menjaringkan salah satu gol penting,” kata Perisic yang bakatnya dicungkil menerusi pasukan remaja di Perancis bersama Sochaux.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 8:05 AM